Perkembangan pendidikan semasa akan membolehkan pelajar belajar dari rumah bagi mendapatkan ijazah

KUCHING: Sistem pembelajaran secara hibrid yang bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merupakan realiti pendidikan ketika ini dan tidak mustahil untuk dilaksanakan.
Timbalan Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata perkembangan pendidikan semasa akan membolehkan pelajar belajar dari rumah bagi mendapatkan ijazah dalam masa beberapa tahun akan datang.
Menurutnya pengajian secara hibrid ini juga sesuai dengan dasar baharu yang bakal diperkenalkan KPT iaitu pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dipendekkan daripada empat kepada tiga tahun.
Ini adalah perkembangan terkini dalam bidang pendidikan. Pada pendapat saya ini, adalah hasil daripada kejadian COVID-19.
"Sebelum COVID-19, kita tidak terlalu bercakap mengenai perkara ini, tetapi setelah berlakunya COVID, maka inilah kedinamikan dalam dunia pendidikan pasca-COVID-19.
"Orang mula bercakap mengenai online dan belajar dari rumah, yang suatu ketika dahulu orang merasakan ia mustahil untuk dilakukan, orang gelak apabila perkara ini dibicarakan tetapi sekarang ia bukan suatu yang mustahil," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengatakan pembelajaran secara hibrid dan jadual anjal bagi setiap mahasiswa.
Menurut Mohamed Khaled sistem itu antara inisiatif dalam membantu kumpulan tersebut daripada terus terbeban dengan kos pengajian, selain memberi mereka ruang yang fleksibel.
Beliau menambah, pembelajaran secara hibrid dan jadual anjal ini akan membolehkan para pelajar menghadiri kuliah di universiti hanya pada tahun pertama serta akhir sahaja, bagi pertengahan pengajian pelajar diberi pilihan menentukan sendiri.
Menurut beliau lagi, sebanyak 95 program ijazah sarjana muda daripada 19 universiti awam bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula dengan kemasukan sesi akademik bagi 2023/2024.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan Mohamed Khaled itu, Mohd Fadzil berkata UNIMAS sebagai universiti awam negara pastinya akan menyahut seruan kementerian malah sistem pembelajaran secara hibrid bukan baharu bagi institusi pengajian tinggi itu.
"Jadi berkemungkinan UNIMAS sedang memikirkan kaedah untuk membolehkan pelajar luar negara khasnya diberi peluang belajar secara hibrid, dalam talian. Mereka mungkin berada di UNIMAS dalam tempoh singkat untuk menghabiskan pengajian.
"Ini kerana pihak universiti tahu pelajar antarabangsa berminat menyambung pengajian tetapi yang mengekang mereka ialah halangan untuk berada di sini," jelasnya.
Mohd Fadzil berpandangan pasca-COVID-19 telah memberi impak kepada dunia pendidikan, banyak universiti termasuk UNIMAS memulakan usaha untuk mengadakan pengajian secara hibrid yang dipanggil ‘study from home' atau‘university from home’.
Jadi ini akan memberi lebih fleksibiliti kepada pelajar untuk berusaha mendapatkan ijazah mengikut pilihan mereka dan apa yang memudahkan pelajar, yang penting pendidikan itu dapat diteruskan.
"Bagi UNIMAS seperti saya katakan tadi, tiada masalah untuk melaksanakan sistem pengajian hibrid kerana pada waktu pandemik (2020-2022) sebelum arahan menteri pun, kita sudah melakukannya kerana pihak universiti merasakan ini adalah trend pengajian pada masa kini," ujarnya.