
KUCHING: Penganjuran Simposium dan Pameran Tenaga Hijau 2023 pada 7 dan 8 Jun ini bakal mendedahkan peserta mengenai pelbagai peluang yang boleh diceburi dalam bidang tersebut.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata lebih 600 peserta dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Kalimantan dijangka akan menghadiri simposium selama dua hari itu.
"Kesemua peserta akan didedahkan mengenai teknologi hijau, alam sekitar, sosial dan rangka kerja kawal selia dan pematuhan perniagaan rendah karbon.
“Selain itu, mereka akan turut didedahkan mengenai pembiayaan hijau serta mekanisme perdagangan pelepasan karbon,” katanya pada sidang media Simposium dan Pameran Tenaga Hijau 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman dan tetamu kehormat lain.
Mengulas lanjut, Sagah berkata simposium itu akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 7 Jun di CENTEXS Kuching
Menurutnya, Kerajaan Sarawak komited mahu menjadikan negeri ini sebagai pemain utama dalam tenaga diperbaharui di Malaysia selain menghasilkan tenaga hijau yang mampan untuk rakyat.
“Justeru, simposium ini akan merangkumi hasrat Kerajaan Sarawak untuk menceburi bidang tenaga hijau.
“Apatah lagi, ia akan menampilkan pelbagai pakar teknologi hijau terkemuka dari seluruh dunia, termasuk Eropah, China, India, Hong Kong dan Semenanjung Malaysia serta pakar tempatan sebagai usaha mencapai matlamat tersebut,” katanya.
Terdahulu, Simposium dan Pameran Tenaga Hijau 2023 dianjurkan oleh MEITD melalui CENTEXS dengan kerjasama Akademi Pembangunan Kemahiran ETHOS.