Anda di sini

Serah sepenuhnya kepada keluarga mangsa tragedi 'Double Six'

Advertisement
 Jeffrey (lima kiri) bersama tetamu jemputan yang hadir sempena upacara Memperingati Peristiwa 'Double Six'.
TUGU PERINGATAN: Jeffrey (lima kiri) bersama tetamu jemputan yang hadir sempena upacara Memperingati Peristiwa 'Double Six'.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada ahli keluarga mangsa tragedi 'Double Six' sekiranya ada permintaan untuk siasatan lain berhubung kejadian terbabit yang perlu didedahkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan sepenuhnya dengan apa yang dituntut oleh ahli keluarga mangsa selagi ia melibatkan perkara yang betul.

Menurutnya, selepas 47 tahun tragedi nahas pesawat 'Double Six' berlaku, masih banyak persoalan mengenai kejadian itu dibangkitkan terutama dalam kalangan rakyat Sabah.

Katanya, walaupun laporan siasatan tragedi itu sudah didedahkan, namun persoalan kenapa perkara itu begitu lama disembunyikan dan tidak didedahkan dari awal.

"Selain kenapa tidak didedahkan dari awal, persoalan apa yang berlaku terhadap kotak hitam pesawat itu masih menjadi tanda tanya.

"Kotak hitam itu mungkin beri maklumat lebih terperinci apa sebenarnya berlaku. Tetapi  di mana kotak hitam itu dan kenapa sampai sekarang tidak boleh dikesan.

"Adakah kotak hitam ini hilang atau dihilangkan. Semua persoalan yang dibangkitkan sekarang boleh didedahkan daripada isi kandungan kotak hitam berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mewakili Ketua Menteri pada Upacara Memperingati Peristiwa 'Double Six' di sini hari ini.

Jeffrey berkata, selagi keberadaan kotak hitam pesawat terbabit masih tidak dapat dikesan, persoalan mengenai tragedi itu akan terus dibangkitkan.

Katanya, tidak hairanlah rakyat Sabah masih menunggu jawapan terhadap persoalan yang bermain di fikiran mereka memandangkan semuanya masih belum terjawab.

"47 tahun sudah begitu lama dan bagi pihak kerajaan dan mangsa, saya turut simpati dengan keluarga, saudara-saudara dan rakyat yang masih begitu tidak tenang dari segi pemikiran mereka.

"Saya berharap semua akan selesai sepenuhnya. Saya tidak percaya kotak hitam itu tidak boleh dicari.

"Insiden berkenaan berlaku di sekitar sini dan ia bukan sukar untuk dicari, ia sepatutnya berada dengan pesawat pada masa itu dan siapa yang mengambil kotak hitam berkenaan dan kenapa mahu disembunyikan," katanya.

Beliau percaya, pesawat berkenaan ada kotak hitam kerana setiap pesawat perlu dilengkapi dengan kotak hitam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir dan Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fatt.
 

  • oleh
  • Advertisement