
BINTULU: Orang awam di bahagian ini menggesa agar masalah tempat letak kenderaan di Hospital Bintulu diselesaikan dengan segera bagi memastikan keselesaan orang ramai yang mendapatkan khidmat perubatan harian serta melawat sanak-saudara yang dimasukkan ke hospital.
Salah seorang pelawat, Alphonsus Kimi, 65, melahirkan kekesalan terhadap kesesakan tempat letak kenderaan yang tidak diurus dengan baik.
“Semasa saya hendak melawat cucu yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini, saya tidak dapat melawat beliau kerana tidak ada tempat untuk meletak kereta,” ujarnya.
Menurutnya, walaupun terdapat kekosongan di tempat parkir kenderaan namun kereta tetap tidak dapat masuk kerana tidak dibenarkan.
Beliau berharap pihak pengurusan hospital melaksanakan langkah bijak dan drastik demi keselesaan para pelawat yang datang sama ada untuk berubat atau melawat saudara mereka yang dimasukkan ke hospital.
Seorang lagi orang awam yang enggan namanya didedahkan turut berharap agar masalah tempat letak kenderaan di hospital dapat diselesaikan dengan segera kerana menyukarkan urusan orang awam yang ingin melawat sanak-saudara mereka di hospital terutama yang ingin mendapatkan khidmat perubatan.
“Langkah segera wajar diambil supaya tidak berlaku kesesakan di tempat letak kenderaan, sekali gus memberikan keselesaan kepada semua pihak yang datang berurusan di hospital,” tegasnya.
Beliau menambah kata, selaras dengan populasi penduduk Bintulu yang semakin bertambah dan status bahagian ini sebagai bandar perindustrian terpenting di wilayah tengah Sarawak, pihak berwajib harus memikirkan cara efektif bagi menyelesaikan masalah tempat letak kenderaan di hospital kerana melibatkan kepentingan serta kemudahan semua pihak.