Anda di sini

Persiapan sambutan Gawai Dayak 2023 di BCCK berjalan lancar

Advertisement
Beberapa persiapan terakhir sebelum Sambutan Gawai Dayak 2023 esok. - Gambar oleh Chimon Upon
Beberapa persiapan terakhir sebelum Sambutan Gawai Dayak 2023 esok. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Raptai terakhir yang dijalankan hari ini sebagai persiapan sambutan Gawai Dayak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) esok berjalan lancar.

Persiapan yang telah bermula sejak Isnin adalah bagi memastikan kelancaran majlis itu.

Timbalan Premier Sarawak yang juga pengerusi Sambutan Gawai Dayak 2023 Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan isteri Datin Amar Doreen Mayang turut hadir dalam raptai terakhir hari ini untuk menyaksikan persiapan sambutan. 

Sambutan yang penuh dengan warna dan budaya itu bakal menyaksikan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib akan menghadiri majlis tersebut.

Dijangka hadir sama memeriahkan majlis adalah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, menteri dan timbalan menteri persekutuan, menteri kabinet negeri dan timbalan menteri serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Menurut Uggah, banyak program menarik dijadualkan berlangsung sepanjang sambutan itu antaranya gendang pampat, persembahan artis tempatan yang terdiri daripada Ricky El, Melissa Francis, Rozzie Mila dan Eddie Kuwing, dan juga bacaan 'Biau Pengabang' oleh Ketua Latihan, Pengurusan Kualiti & Penyelidikan UKAS Dr Charlie Dundang.

Selain itu, sambutan itu juga akan menampilkan persembahan istimewa seperti memperagakan pelbagai jenis pakaian tradisional yang akan dimodelkan oleh masyarakat Dayak, antara  lainnya 'Kumang dan Keling', 'Dayung Sangon', 'Dari Pogan', 'Keligit' dan 'Belawan', untuk menghidupkan serta meningkatkan semangat Gawai Dayak.

Sementara itu, Tun Taib juga akan mengetuai acara 'Nyeradak Ai Pengayu' bersama tetamu kehormat dan semua jemputan.

Turut hadir pada raptai terakhir hari ini, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai yang juga pengerusi sambutan Gawai Dayak 2023 (Jawatankuasa Kerja) dan isteri, Datin Melia Gelen dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah dan setiausaha jawatankuasa sambutan itu, Sirai Daha.

Advertisement