Anda di sini

Persatuan Peniaga Sarang Burung Sibu turunkan yuran tahunan

Advertisement
Tang (enam kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama ahli jawatankuasanya hari ini.
Tang (enam kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama ahli jawatankuasanya hari ini.

SIBU: Persatuan Peniaga Sarang Burung Sibu menurunkan yuran keahlian tahunannya kepada RM100 untuk menggalakkan lebih ramai peniaga sarang burung menyertai persatuan sebagai ahli.

Pengerusinya Sky Tang Sik Ping berkata, yuran asal persatuan sebelum ini ialah RM600 dan keputusan itu dibuat bagi memastikan semua peniaga sarang burung mendapat bantuan dan menjaga kebajikan mereka terutama dalam isu lesen.

"Pada 30 Mei, kita telah mengadakan pertemuan dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk membincangkan cara menyelesaikan isu yang dihadapi oleh peniaga sarang burung di sini.

"Mereka (SFC) menggalakkan semua peniaga sarang burung menjadi ahli persatuan supaya persatuan dapat membantu ahli dalam apa juga cara yang boleh untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Adalah lebih baik jika kita tampil sebagai satu persatuan daripada cuba menyelesaikan masalah secara individu terutama dalam hal pelesenan," ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.

Tang berkata, semua persatuan sarang burung di negeri ini akan membentuk jawatankuasa untuk menjadi jambatan antara peniaga dan agensi kerajaan yang berkaitan.

"Apabila bercakap mengenai permohonan lesen, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

"Jadi, melalui persatuan kita boleh berkomunikasi dengan ahli apa yang mereka perlu sediakan dan pada masa sama cuba selaraskan dengan agensi, apakah perkara yang perlu kita ambil perhatian," jelasnya.

Mereka yang berminat menjadi ahli boleh menghubungi Law di talian 084-338775.

Advertisement