Anda di sini

Perbanyakkan papan tanda di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo: Gira

Advertisement
GIRA
GIRA

SIBU: Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak yang terlibat dalam projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo diminta membanyakkan pemasangan papan tanda di sepanjang laluan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang berkata, papan tanda itu penting untuk memastikan pengguna jalan raya tidak keliru dengan keadaan jalan yang masih dalam proses pembinaan.

"Dalam tempoh dua hari, saya diberitahu lapan maut akibat kemalangan terutama di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo dari Sibu ke Selangau.

"Jadi saya minta semua pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati susulan pembukaan lebih banyak laluan di Lebuh Raya Pan Borneo.

"Ada antaranya sudah dibuka kepada empat lorong dan ada pula hanya dibuka kepada dua lorong," katanya semasa dihubungi hari ini.

Menurut Gira, pengguna jalan raya juga dinasihati supaya tidak mengambil jalan mudah termasuk membuat pusingan-U di kawasan tidak sepatutnya.

Gira berkata, pusingan-U hanya boleh dibuat di kawasan-kawasan yang mempunyai papan tanda pusingan-U.

Perbuatan melakukan pusingan-U di tempat yang tidak dibenarkan adalah bahaya dan boleh menyebabkan kemalangan jalan raya. 

Katanya, antara kepentingan mematuhi papan tanda jalan raya adalah bagi tujuan mendisiplinkan para pemandu semasa berada di atas jalan raya.

Pada Isnin, lima maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Jalan Sibu-Bintulu.

Kemalangan ngeri itu melibatkan sebuah kereta dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Dalam kejadian kemalangan terbaru, seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Stapang, Selangau semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 6.57 pagi sebelum mengerahkan enam anggota diketuai PBK II Abdul Malik Chi ke lokasi.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah kereta.

"Seorang penumpang di bahagian belakang kereta terbabit didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau.

"Pemandu dan seorang lagi penumpang kereta yang sama cedera berjaya dikeluarkan orang awam sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemandu lori itu yang tidak mengalami kecederaan, terus membuat laporan di Balai Polis Stapang.

  • oleh
  • Advertisement