Anda di sini

Pengurangan subsidi T20 supaya tidak bebankan orang miskin: PM

Advertisement
Anwar ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
Anwar ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pengurangan subsidi kerajaan hanya kepada golongan kaya atau mereka yang berpendapatan tinggi (T20), namun pada kadar minimum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan terpaksa melakukannya supaya tidak membebankan golongan miskin.

“Bila Yang Berhormat sebut tentang pengurangan subsidi, saya kurang faham di mananya kurang, yang kurangnya itu untuk orang kaya. Kurang subsidi untuk orang kaya pun tidak boleh?

“Nak ambil RM50, RM60 juta pada Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (Pengerusi Yayasan Albukhary) tidak boleh? Saya terpaksa ambil daripada orang kaya supaya tidak bebankan orang miskin,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai tindakan kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat susulan pendekatan kerajaan mengurangkan subsidi dan kejatuhan ringgit.

Mengambil contoh pengurangan subsidi elektrik, Perdana Menteri menjelaskan 90 peratus rakyat tidak terkesan daripada pengurangan tersebut, malah hanya bagi golongan kaya yang memiliki rumah-rumah besar sahaja.

Beliau berkata kerajaan juga tidak menaikkan kadar tarif elektrik untuk industri kecil dan sederhana (IKS) dan industri makanan.

“Kita kurangkan subsidi elektrik, tidak untuk rakyat, (tetapi) untuk orang yang maha kaya, rumah-rumah besar yang kaya sahaja, yang T20. Jadi kenapa kita nak jadikan isu ini isu politik? Kita hendak jadi jaguh siapa ini?

“Kemudian, bagi subsidi Haji, kita tidak naikkan untuk rakyat, yang naikkan itu untuk (golongan) T20, kamu dah kaya benar, takkan Tabung Haji (TH) hendak bersubsidi untuk pergi Mekah. Ini memang juga ada rungutan tetapi saya tegas dalam hal itu,” kata beliau.

Pada 22 Mei lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata golonganT20 tidak akan menerima manfaat subsidi bagi penggunaan elektrik serta Bantuan Kewangan Haji.

Beliau berkata Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan untuk mengurus dan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak. - Bernama 

Advertisement