Anda di sini

MEITD rangka program latihan hijau baharu untuk lepasan sekolah

Advertisement
Sagah pada sidang media Simposium dan Pameran Tenaga Hijau Sarawak 2023 hari ini. - Gambar Chimon Upon
Sagah pada sidang media Simposium dan Pameran Tenaga Hijau Sarawak 2023 hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) menerusi Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) sedang merangka program latihan hijau baharu untuk lepasan sekolah di negeri ini.

Menterinya Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, program latihan itu dibuat sebagai usaha merealisasikan aspirasi Kerajaan Sarawak ke arah ekonomi hijau menjelang 2030.

“Kita mahu semua rakyat Sarawak mempunyai peluang dengan mengambil bahagian dalam pembangunan keseluruhan negeri.

“Sekali gus membolehkan mereka (rakyat) dapat menikmati pengagihan pendapatan melalui pendidikan, pekerjaan dan peluang perniagaan,” katanya pada sidang media Simposium dan Pameran Tenaga Hijau Sarawak 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sagah memberitahu bahawa program latihan itu sekarang masih dalam peringkat reka bentuk dan kebanyakannya melibatkan perkara berkaitan teknologi hijau.

“Jadi mereka (CENTEXS) kini dalam proses mengusahakannya, bagaimanapun perincian lebih lanjut tentang program latihan hijau baharu ini belum dapat saya umumkan lagi,” ujarnya.

Namun demikian, beliau berharap para pelajar terutama lepasan sekolah mengambil bahagian dalam program yang ditawarkan oleh CENTEXS itu nanti.

“Jika anda melawat CENTEXS anda akan melihat banyak kemajuan berhubung perkara itu yang boleh anda pelajari,” katanya.

Selain itu Sagah berkata, CENTEXS ada menyediakan empat program latihan dalam bidang Tenaga Hijau dan Kelestarian Alam Sekitar. 

“Program latihan hijau CENTEXS ini adalah untuk kategori pascasiswazah, yang memerlukan calon yang telah memperoleh ijazah sarjana muda untuk mendaftar.

“Antara program latihan ditawarkan adalah Sijil Smart Solar PV (Pensijilan oleh Huawei dan Solarvest), Sijil Mobiliti dan Penyimpanan Hijau (Pensijilan oleh Huawei dan Solarvest), Sijil Hidrogen Hijau (Pensijilan oleh Solarvest) serta Sijil Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk Perusahaan (Pensijilan oleh Intertek dan Ethos),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman memaklumkan, seramai 100 pelajar akan mengikuti empat program dalam bidang Tenaga Hijau dan Kelestarian Alam Sekitar.

“Empat program itu nanti akan melibatkan seramai 25 pelajar sekelas dan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 100 pelajar. 

“Bagaimanapun kita menyasarkan dua pengambilan dengan program akan melibatkan dua minggu atau sebulan,” kata Syeed Mohd Hussein.

Tambahnya, CENTEXS kini sedang dalam proses pengambilan pelajar program berkenaan dan ia akan bermula pada Julai depan.

Advertisement