Anda di sini

Masyarakat Madani bersifat universal: Sapawi

Advertisement
 Sapawi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ariffin.
CENDERA KENANGAN: Sapawi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ariffin.

SIPITANG: Yang Dipertua Petubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Haji Ahmad optimis masyarakat madani boleh dibentuk di peringkat universal selari dengan konsep Masyarakat Bertamadun.

Katanya, masyarakat madani sebenarnya bukan hanya dibentuk di peringkat kampung, bandar, kota dan negara sahaja, bahkan ia boleh diaplikasi di semua peringkat sejagat.

Dalam era pemerintahan sekarang, konsep Malaysia Madani sangat sesuai kerana ia mengutamakan aspek tata kelola.

“Ia turut menekankan pelaksanaan terhadap dasar sedia ada terutamanya dalam kemelut politik dan ekonomi yang dihadapi oleh Malaysia pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Forum Malaysia Madani: Keharmonian Kepelbagaian bagi Zon Pendalaman Sabah, di sini hari ini.

Menurutnya, masyarakat Islam di Sabah, khususnya ahli USIA diminta supaya bersama-sama menghayati konsep Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya seterusnya menjayakannya di semua peringkat.

“Konsep Malaysia Madani merupakan suatu amalan dan pendekatan praktikal dalam usaha  menangani pelbagai masalah yang melanda rakyat dan negara ketika ini.

“Ia juga sekali gus dapat melahirkan masyarakat yang bertamadun di masa akan datang sekiranya ia sentiasa dipraktikkan,” katanya.

Beliau berkata, konsep Sabah Maju Jaya pula adalah usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti di negeri ini.

“Rakyat di Sabah seharusnya bersyukur kerana pernah dipimpin oleh seorang negarawan ulung yang juga Yang Dipertua USIA, AlmarhumTun Datu Mustapha Datu Harun.

“Beliau sangat berpandangan jauh sehingga menubuhkan Yayasan Sabah di Mesapol Sipitang pada 09 November 1965 bagi menyediakan kemudahan pendidikan anak-anak muda Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai program ini, katanya, ia adalah forum kali keempat yang dilaksanakan dan mendapat kerjasama daripada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) Jabatan Ketua Menteri. 

“Kerjasama mengadakan forum ini mencerminkan kesungguhan semua pihak menjayakan program yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi manfaat masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ariffin Arif; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Roslan Muharam dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih.

  • oleh
  • Advertisement