Anda di sini

Mangsa pelaburan tidak wujud rugi RM524,800

Advertisement
MOHD AZMAN
MOHD AZMAN

KUCHING: Seorang jurujual mengalami kerugian sebanyak RM524,800 selepas diperdaya untuk membuat pelaburan tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berusia 38 tahun terbabit mulanya tertarik dengan skim pelaburan 'BB Trade VIP' yang ditawarkan di Facebook pada 28 April lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Justin Kang' selepas dia menekan pautan yang terdapat pada iklan pelaburan tersebut.

"Suspek menerangkan kepada mangsa bahawa keuntungan 20 peratus akan diperolehi daripada nilai pelaburan yang dibuat.

"Suspek kemudian menyuruh mangsa memasukkan wang ke beberapa akaun bank sebagai caj perkhidmatan skim pelaburan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat 19 transaksi wang.

"Mangsa tanpa ragu-ragu telah melakukan 19 transaksi pindahan wang berjumlah RM524,800 ke tujuh akaun bank berlainan pada 28 April hingga 5 Jun.

"Dia hanya menyedari dirinya ditipu apabila suspek gagal dihubungi lagi," katanya.

Laporan polis kemudian dibuat oleh mangsa pada 5 Jun untuk siasatan lanjut.
 
Sementara itu, Mohd Azman juga menasihati orang ramai agar menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di talian WhatsApp 013-211 1222 bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berkaitan kes-kes penipuan.

Orang ramai juga boleh melakukan semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui aplikasi check Scammer CCID atau laman web http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan

  • oleh
  • Advertisement