Anda di sini

Lapan balai bomba baharu dicadang dibina di Sarawak

Advertisement
 


 
KUALA LUMPUR: Lapan permohonan bagi pembinaan balai bomba baharu di Sarawak telah dibuat pada tahun ini bagi meningkatkan capaian perkhidmatan kebombaan di kawasan luar bandar dan pedalaman. 

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pada masa ini, terdapat 38 balai bomba yang beroperasi di negeri itu dalam pelbagai kategori sekali gus menjadikan Sarawak sebagai negeri terbanyak yang mempunyai balai bomba.

“Tahun ini kementerian melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengangkat lapan permohonan kepada agensi pusat melibatkan perolehan tapak dan pembinaan balai bomba baharu serta kuarters di Sarawak,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang ingin mengetahui tentang syarat dan kriteria pembinaan balai bomba dan penyelamat di kawasan luar bandar serta pedalaman selain inisiatif kementerian dalam membendung insiden kebakaran di rumah panjang yang kerap berlaku di Sarawak. -- Bernama

Advertisement