Anda di sini

Kerajaan cadang tambah kamera AwAS

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk menambah kamera Automated Awareness Safety System (AwAS) atau yang dahulunya dikenali sebagai Automated Enforcement System (AES) mengikut keperluan dalam jangka masa panjang.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata hal ini kerana kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati, tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera itu, mencecah 99 peratus.

“Perkara ini berjaya meningkatkan tahap persepsi ditangkap kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya seterusnya telah mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di lokasi penguatkuasaan AwAS,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) tentang status terkini kamera AES dan jumlah yang masih beroperasi dan sebarang kajian terkini dilakukan berhubung keberkesanan penggunaan kamera AES.

Menurutnya pada masa ini, terdapat 45 kamera AwAS beroperasi dan daripada jumlah itu, hanya satu kamera sedang dalam proses pembaikan serta penyelenggaraan.

Pada masa yang sama, Hasbi juga menekankan penguatkuasaan kamera AwAS bukan bertujuan memerangkap pengguna jalan raya sebaliknya, langkah itu bagi memastikan semua pengguna mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan titik hitam yang merupakan lokasi kerap berlakunya kemalangan.

“Penggunaan kamera sebegini telah membolehkan aktiviti penguatkuasaan berlangsung 365 hari dan 24 jam sehari, serta mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia (anggota penguatkuasaan) yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar), Hasbi berkata kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan laluan khas motosikal di lebuh raya di negara ini.

“Kajian memang sedang dibuat sebab kita tahu lebuh raya memang tempat kelajuan yang tinggi, jadi kita kaji di mana tempat-tempat boleh bina laluan motosikal … bukan semua tempat di lebuh raya boleh dibina laluan motosikal, mungkin tempat tertentu sahaja,” katanya. - Bernama 

Advertisement