Anda di sini

Forum Minyak Sawit Lestari Antarabangsa telah diadakan di Kelab Caledonian, London

Advertisement
Kelihatan Dr Hazland (dua kiri) pada forum berkenaan di London baru-baru ini.
Kelihatan Dr Hazland (dua kiri) pada forum berkenaan di London baru-baru ini.

KUCHING: Forum Minyak Sawit Lestari Antarabangsa (ISPOF) menjadi platform untuk mempromosikan wacana perdagangan mampan, termasuk minyak sawit telah diadakan di Kelab Caledonian, London baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty), forum berkenaan diadakan bertujuan mendidik pengguna tentang fakta minyak sawit mampan - faedah kesihatan, kesan alam sekitar dan peluang ekonomi.

"Minyak sawit adalah tanaman minyak yang paling banyak digunakan dan paling produktif di dunia, dengan tiga pengeluar minyak sawit terbesar di dunia berasal dari Asia Tenggara," memetik kenyataan itu hari ini.

MEESty diwakili Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni sementara ucaptama di forum berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia Dato Sri Fadillah Yusof.

Beliau berkongsi tentang Perdagangan Mampan dan Amalan Perniagaan Bertanggungjawab Dalam Era Global Baharu.

Selepas ucaptama, forum yang dipengerusikan oleh Tan Sri Michael Yeoh daripada KSI itu bertujuan mempromosikan idea, visi dan impak positif terhadap minyak sawit mampan dan perdagangan mampan.

Dianjurkan oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik, forum turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Zakri Jaafar, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
 
Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut turut berkongsi rancangan komprehensif Sarawak untuk menangani peralihan tenaga dan krisis iklim, berkongsi Dasar Ekonomi Hijau Sarawak, Dasar Peralihan Tenaga serta menerajui penyelesaian karbon, penyelesaian semula jadi dan berasaskan teknologi.

Dalam ruang pelepasan karbon dioksida, beliau mengingatkan bahawa metana, juga gas rumah hijau (GHG), mempunyai jangka hayat yang lebih pendek daripada karbon dioksida, walaupun metana berkemungkinan tinggi meningkatkan suhu planet. 

"Karbon dioksida akan wujud lebih lama di atmosfera bumi jika tindakan tidak diambil untuk mengurangkannya.

"Dalam konteks pengeluaran minyak sawit mampan, penyertaan UK kepada Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) adalah peluang untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan Asia-Pasifik, khususnya Malaysia. 

"UK dan Malaysia bersedia untuk melihat peluang pertumbuhan perdagangan yang ketara melalui CPTPP dan penghapusan tarif adalah menang-menang bagi kedua-dua negara, terutama bagi pengguna Britain dan pengeluar minyak sawit di Malaysia," katanya.

Kerumitan minyak sawit menimbulkan cabaran kepada penggubal dasar untuk mengoptimumkan faedah sosioekonominya sambil mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar. 

Oleh itu keseimbangan antara kesan alam sekitar, sosial dan ekonomi adalah asas penggubalan dasar ke arah pembangunan mampan industri minyak sawit.

Turut hadir panel pelbagai daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti World Wildlife Fund (WWF), Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan dan pakar lain dalam bidang kelapa sawit mampan.

Advertisement