Anda di sini

Ewon komited bantu peniaga kecil bina gerai keusahawanan desa 

Advertisement
 Ewon (kiri) sempat meninjau produk jualan peniaga wanita di Tamu Pongindopuan Kampung Rangalau Kota Belud.
GERAI: Ewon (kiri) sempat meninjau produk jualan peniaga wanita di Tamu Pongindopuan Kampung Rangalau Kota Belud.

KOTA BELUD: Lebih ramai golongan peniaga kecil di kawasan Kadamaian di sini menikmati bantuan pembinaan gerai keusahawanan desa hasil komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.

Usaha yang dilaksanakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu bertujuan memberikan keselesaan kepada para peniaga kecil di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pembinaan gerai-gerai keusahawanan desa antara fokus Pelan Induk Pembangunan Kadamaian (2020-2035).

Katanya, komitmen berkenaan antara pelan bagi memenuhi wawasan beliau dalam membangunkan Kadamaian berasaskan kepada dua sektor ekonomi utama iaitu pertanian dan pelancongan serta rangkaian kemudahan keusahawanan desa.

“Pembinaan gerai-gerai keusahawanan desa yang baharu atau penambahbaikan gerai sedia ada bukan sahaja memberikan keselesaan kepada kaum ibu yang berniaga secara kecil-kecilan di tepi jalan, tetapi juga memberi keselesaan kepada para pengunjung,” katanya ketika merasmikan Gerai dan Tamu Pongindopuan Kampung Rangalau di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan 'touchpoint' sebanyak RM20,000 untuk membina kemudahan yang diperlukan para peniaga di gerai itu, antaranya tandas dan saluran paip yang akan dibina secara bergotong-royong.

Seramai 38 peniaga wanita terlibat dalam aktiviti keusahawanan di gerai dan Tamu Pongindopuan Kampung Rangalau.

Ahli Parlimen Penampang ini berkata, selain kampung berkenaan, bantuan membina Gerai Keusahawanan Desa turut dilaksanakan di 15 kampung antaranya Kampung Piasau, Gaur, Melangkap Tiong, Kelawat Pekan, Lompios, Bahaba, Tambulion, Tuguson, dan Takulung.

Dalam pada itu, pihaknya turut menyalurkan peruntukan menaik taraf tamu-tamu tradisi di kawasan Kadamaian iaitu Tamu Komuniti Lompios, Tamu Pongindopuan Rangalau, Tamu Sosondoton Piasau, Tamu Tradisi Tambulion, Tamu Layu Nahaba, Tamu Badi Melangkap Tiong, dan Tamu Tani Kelawat.

“Saya berharap pembinaan dan naik taraf gerai keusahawanan desa dan tamu komuniti ini akan memberi keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung,” katanya.

Kebanyakan peniaga di gerai itu menjual hasil pertanian seperti sayur kampung, buah-buahan, beras kampung, makanan tradisional, dan kuih muih.
 

  • oleh
  • Advertisement