Anda di sini

Djokovic mara ke suku akhir 

Advertisement
DJOKOVIC
DJOKOVIC

PARIS: Novak Djokovic melangkah ke peringkat suku akhir Terbuka Perancis buat tahun ke-14 berturut-turut sementara pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz juga meneruskan kemaraan dengan menewaskan Lorenzo Musetti dan terus berada di landasan bakal bertemu dengan Djokovic.

Djokovic, yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, menamatkan cabaran pemain tidak terkenal dari Peru, Juan Pablo Varillas 6-3, 6-2 dan 6-2 dan masih belum tewas satu set sepanjang empat perlawanan pada kejohanan ini.

Jaguh dari Serbia itu, yang memburu kejuaraan ketiga di sini, memiliki satu rekod mara ke peringkat suku akhir Terbuka Perancis buat kali ke-17 selepas melangkah ke peringkat suku akhir keseluruhan kejohanan Grand Slam sebanyak 55 kali.

“Saya berasa bangga tetapi perhatian saya kini ialah pada perlawanan seterusnya,” kata Djokovic, yang akan bertemu pemain pilihan ke-11 dari Rusia, Karen Khachanov untuk satu kemungkinan pertemuan separuh akhir menentang Alcaraz.

“Saya tahu apa sasaran saya di sini. Saya cuba kekal cergas dari segi mental dan juga tidak melihat terlalu jauh ke hadapan.

“Sememangnya prestasi hari ini memberikan saya keyakinan yang tinggi tentang permainan saya, tentang cara saya bermain.”

Varillas, 27, adalah pemain pertama dari Peru yang berjaya melangkah ke minggu kedua satu kejohanan Grand Slam sejak Jaime Yzaga melangkah ke peringkat suku akhir Terbuka Amerika (AS) 29 tahun yang lalu.

Djokovic bagaimanapun menamatkan sebarang peluang kejutan apabila mendahului awal dan menguasai sepenuh permainan untuk meneruskan kemaraan dalam masa kurang dua jam.

Khachanov melangkah ke peringkat suku akhir ketiga berturut-turut dalam kejohanan Grand Slam selepas bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Lorenzo Sonego 1-6, 6-4, 7-6(9/7) dan 6-1.

Djokovic memiliki rekod 8-1 menentang Khachanov, yang memenangi perlawanan tunggal di Terbuka Perancis pada 2020.
Alcaraz masih kekal sebagai pilihan utama muncul juara apabila mudah menewaskan Musetti untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Musetti belum tewas satu set pada tiga perlawanan terakhir tetapi Alcaraz mudah menyingkirkan pemain pilihan ke-17 dari Itali itu 6-3, 6-2 dan 6-2, sekali gus menebus kekalahannya pada final kejohanan di Hamburg tahun lepas.

“Saya fikir saya bermain di tahap yang sangat hebat, dengan pukulan berkualiti. Saya bermain dengan lengkap dari awal sehingga ke akhir dan saya berasa gembira untuk meneruskan kemaraan,” kata Alcaraz.

Jaguh dari Sepanyol berusia 20 tahun itu akan bertemu dengan naib juara di sini pada 2021, Stefanos Tsitsipas, yang juga menang selesa ke atas pemain kelayakan dari Austria, Sebastian Ofner 7-5, 6-3 dan 6-0.

“Pertemuan yang kita semua nanti,” kata Tsitsipas, pemain pilihan kelima dari Greece  yang sudah tewas kesemua empat pertemuan menentang Alcaraz. — AFP

Advertisement