Anda di sini

Cuci tandas: Ambil positif, benarkan anak jalankan tanggungjawab terhadap kebersihan sekolah 

Advertisement
KULLIN
KULLIN

KUCHING: Ibu bapa harus bersama-sama mengambil positif saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu murid-murid dilibatkan dalam kebersihan di sekolah termasuk mencuci tandas.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Kullin Djayang berkata, ini kerana amalan sedemikian mendisiplinkan murid selain dapat memastikan mereka menjaga kebersihan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

“Pendidikan yang baik bermula dari perkara dasar iaitu menjaga kebersihan diri dan persekitaran,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada zaman dahulu, menurut Kullin, para pelajar sememangnya dilatih untuk membersihkan kawasan sekolah termasuk tandas.

“Namun setelah acap kali bantahan daripada ibu bapa, maka kerajaan menyediakan perbelanjaan untuk sektor swasta bagi mengambil alih kerja pembersihan di kawasan sekolah,” katanya.

Sebenarnya bagi guru kata beliau, didikan bukanlah semata-mata dari segi akademik tetapi juga sahsiah dan disiplin. 

“Justeru, ibu bapa perlu melihat perkara ini secara positif dan membenarkan anak mereka turut bersama-sama menjalankan tanggungjawab terhadap kebersihan sekolah termasuk tandas,” tegas beliau.

Terdahulu, Anwar ketika berucap di Majlis Peramian D'Anjung Selera Madani pada Sabtu, membuat teguran bahawa kebanyakan tandas di sekolah di negara ini yang tidak terjaga dan dibaik pulih sebaiknya.

Anwar yang pernah menjadi menteri pendidikan pada 1986 turut mencadangkan supaya murid didik untuk menjaga dan membersihkan kemudahan itu.

“Dahulu sewaktu saya menteri pendidikan, saya arahkan semua sekolah buat giliran bersihkan tandas.

“Ada ibu bapa profesional, golongan atasan hantar telegram kepada saya (membantah); menteri, saya hantar anak saya belajar di sekolah bukan untuk mencuci tandas.

“Saya kata arahan tersebut bertujuan untuk mendidik murid-murid tentang kebersihan serta menghormati orang lain termasuk pencuci tandas,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement