Anda di sini

Cuaca panas: Sektor perikanan akuakultur alami kerugian bernilai RM438,500

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

PASIR PUTEH: Sektor perikanan akuakultur di seluruh negara telah mengalami kerugian bernilai RM438,500 setakat ini berikutan fenomena El Nino.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata ia membabitkan seramai 21 penternak dengan kerugian tertinggi direkodkan di Pahang bernilai RM217,000, Terengganu (RM108,500), Johor (RM50,000), Selangor (RM39,000) dan Kelantan (RM24,000).

Beliau berkata pihaknya menasihatkan kepada penternak terutamanya yang berada di kawasan berisiko tinggi untuk menilai situasi semasa bagi memulakan pusingan baharu ternakan atau mereka perlu bertahan sehingga cuaca kembali stabil.

“Penternak juga diminta untuk mengurangkan kadar tebaran benih memandangkan risiko ternakan untuk mati dan mendapat penyakit adalah tinggi ketika cuaca panas melampau berikutan ia boleh menjejaskan suhu air.

“Jabatan Perikanan kini sedang mengumpul maklumat mengenai penternak yang terjejas dan maklumat yang diperoleh akan dibawa ke peringkat lebih tinggi. Selain itu, kita juga sedang mempertimbangkan untuk memberi bantuan benih kepada penternak yang terkesan apabila cuaca kembali reda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Karnival Usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) & myKOMUNITI Perikanan (myKP) Zon Timur Tahun 2023 di Dataran Bahtera Tok Bali di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Adnan berkata Jabatan Perikanan juga sedang giat memantau pendaratan ikan laut kerana khuatir bekalan akan terjejas berikutan cuaca panas yang sedang berlaku ketika ini.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada nelayan membabitkan bekalan ikan selain bekalan juga masih stabil sekali gus tiada keperluan untuk menghentikan eksport ikan.

“Bagaimanapun, kita berkemungkinan akan berdepan dengan jerebu sekali gus akan membahayakan nelayan bot kecil dan menjejaskan navigasi di laut khususnya di Laut Selat Melaka.

“Oleh itu, kita menasihatkan kepada kumpulan sasar untuk mengetahui cuaca terkini daripada Jabatan Meteorologi dari semasa ke semasa agar aktiviti di laut tidak terjejas,” katanya. - BERNAMA 

Advertisement