Anda di sini

Benzema setuju dengan perjanjian untuk tinggalkan Real Madrid

Advertisement
BENZEMA
BENZEMA

MADRID: Penyerang sensasi kelab Real Madrid, Karim Benzema, bersetuju dengan satu perjanjian untuk meninggalkan kelab, menurut kelab gergasi bola sepak Sepanyol itu pada Ahad.

Penyerang berusia 35 tahun itu dikaitkan dengan satu perpindahan lumayan ke Arab Saudi minggu ini dan rangkaian televisyen negara Arab, Al-Ekhbariya melaporkan pada Ahad bahawa Benzema sudah menandatangani kontrak bersama kelab Al-Ittihad yang berpangkalan di Jeddah.

“Real Madrid dan kapten pasukan, Karim Benzema, sudah bersetuju untuk menamatkan era hebat dan tidak akan dapat dilupakan sebagai seorang pemain di kelab kami,” kata Real Madrid dalam satu kenyataan rasmi.

“Real Madrid mahu menunjukkan penghargaan dan semua kasih sayang kepada seseorang yang merupakan salah seorang legenda terhebat kami.”

Pengumuman itu hadir selepas jurulatih Real, Carlo Ancelotti berkata pada Sabtu bahawa “tiada keraguan” tentang masa depan Benzema di Madrid, menjelaskan bahawa penyerang itu mempunyai baki satu tahun lagi dalam kontrak semasanya.

Dan Benzema sendiri ada berkata “tidak semua yang anda baca dalam internet adalah realiti” selepas laporan muncul minggu lepas tentang potensi perpindahan ke Arab Saudi, di mana bekas rakan sekelabnya, Cristiano Ronaldo bermain bersama kelab Al Nassr.

Bagaimanapun, menurut Al-Ekhbariya, presiden Al-Ittihad dan timbalannya berada di Madrid “untuk menandatangani secara rasmi” Benzema dalam satu “rekod perpindahan bersama Real Madrid”.

Rangkaian TV itu berkata Benzema sudah bersetuju dengan kontrak dua tahun bersama kelab juara Liga Arab Saudi musim ini.

Benzema menyertai Madrid pad 2009 dari kelab Ligue 1 Perancis, Lyon.

Dia meletakkan dirinya sebagai pemain penting bersama-sama Ronaldo dan Gareth Bale dalam kombinasi serangan digelar “BBC”, sebelum membentuk kepimpinan pasukan apabila Ronaldo meninggalkan kelab pada 2018.

Benzema memenangi lima trofi Liga Juara-Juara, empat kejuaraan La Liga Sepanyol dan tiga Copa del Rey bersama Real Madrid. 
Dia juga pemenang Ballon d’Or untuk pemain terbaik dunia.

Dia adalah penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman Real Madrid, dengan 353 gol, di belakang Ronaldo yang menjaringkan 450 gol.

Penampilan terakhir Benzema ialah menentang Athletic Bilbao di Santiago Bernabeu, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di mana Benzema menjaringkan gol penalti untuk mengikat kedudukan.

Benzema bersaing dengan Gonzalo Higuain untuk satu  tempat dalam kesebelasan utama pada awal kariernya di Madrid, dan pernah digelar oleh bekas jurulatih Jose Mourinho sebagai “kucing” berbanding “anjing buruan” yang dia mahukan.

Ketika bermain bersama Ronaldo, Benzema memainkan peranan sebagai pengumpan dan bekerja-keras menyumbangkan gol kepada rakan sepasukannya.

Dia semakin menambah jaringan gol selepas Ronaldo meninggalkan kelab dan menjaringkan 44 gol dalam 46 perlawanan musim lepas, satu prestasi yang membolehkannya menerima anugerah Ballon d’Or.

Kejuaraan terbaharu Benzema ialah Copa del Rey pada bulan Mei, ketika Real menewaskan Osasuna untuk memenangi kejohanan itu buat kali pertama sejak 2014.

Benzema mungkin menghargai kejuaraan Liga Juara-Juara musim lepas kerana dia menjaringkan banyak gol kemenangan pasukannya.

Dia menjaringkan hatrik untuk membantu Real bangkit dari ketinggalan ketika menentang Paris Saint Germain (PSG) di pusingan kedua dan kemudian menjaringkan satu lagi hatrik ketika menentang Chelsea di suku akhir sebelum menjaringkan gol dalam masa tambahan untuk membawa pasukan ke separuh akhir.

Benzema juga menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan menentang Manchester City untuk membantu Real melangkah ke final, di mana mereka menewaskan Liverpool. — AFP

Advertisement