Anda di sini

Atlet para Sarawak komited sumbang pencapaian cemerlang

Advertisement

Mereka yakin hasilkan pencapaian luar biasa, harumkan nama Malaysia dan Sarawak pada APG Ke-12

Fatimah (kanan) bersama Razi (dua kanan) serta yang lain semasa sidang media semalam. - Gambar oleh Mohd Faizal Ahmad
Fatimah (kanan) bersama Razi (dua kanan) serta yang lain semasa sidang media semalam. - Gambar oleh Mohd Faizal Ahmad

KUCHING: Atlet para Sarawak sangat komited untuk menyumbang pencapaian cemerlang pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) Ke-12 Kemboja yang sedang berlangsung kini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, malahan atlet para sarawak yakin akan menghasilkan pencapaian yang luar biasa serta mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak khususnya pada temasya berkenaan.

"Setakat ini (5 Jun 2023), kontinjen Malaysia telah meraih 23 emas, 17 perak dan 13 gangsa di mana atlet para Sarawak telah menyumbang lima emas, lima perak dan tiga gangsa.
 
"Kontinjen Malaysia menyasarkan 33 emas, 51 perak dan 58 gangsa dan daripada sasaran itu, sebanyak 14 emas, 8 perak dan 11 Gangsa bagi pingat yang disasarkan oleh atlet Sarawak," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Fatimah berkata APG Ke-12 di Kemboja berlangsung dari 3 hingga 9 Jun dan beliau bersama timbalannya Mohd Razi Sitam dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Adana Jed akan hadir dari 7 hingga 10 Jun bagi memberi sokongan kepada semua atlet para Sarawak yang bertanding.

"Kami berharap kehadiran kami dapat memberi suntikan semangat kepada atlet para Sarawak untuk beraksi dengan cemerlang dalam acara yang disertai masing-masing," katanya.

Mengulas lanjut Fatimah berkata, Angeline Melissa Lawas, seorang atlet boccia dari Sarawak telah dipilih untuk menggalas tugas sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Manakala katanya, atlet renang Muhammad Nur Syaiful Zulkafli juga dari Sarawak, diberi kepercayaan untuk membaca ikrar mewakili kontinjen Malaysia semasa Majlis Pembukaan pada acara perarakan masuk kontinjen Malaysia di APG Ke-12 Kemboja pada 3 Jun lepas.

Selain itu kata Fatimah, Ashley Irenaeus, seorang atlet para Sarawak dalam acara badminton telah dipilih mewakili bagi upacara menaikkan bendera Sukan Para ASEAN Kemboja 2023 untuk mengalu-alukan 11 negara yang mengambil bahagian di pekarangan Stadium Morodok Techo pada 2 Jun lalu.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada 144 atlet (116 lelaki dan 28 wanita) dan 84 pegawai. 

Menurut Fatimah daripada jumlah tersebut, seramai lapan belas (18) atlet para Sarawak (13 lelaki, lima wanita) dipilih untuk mewakili Malaysia dalam lapan acara sukan.

Antaranya, bola keranjang beroda (seorang atlet para), badminton (seorang), boccia (tiga atlet), catur (seorang atlet), CP Football (dua atlet), renang (empat atlet), pingpong (seorang atlet) dan powerlifting (lima atlet).

  • oleh
  • Advertisement