Anda di sini

APMM tahan bot tunda dan tongkang di Tanjung Po

Advertisement
Bot tunda dan tongkang ditahan dan diiringi ke Jeti KOMTAS.
Bot tunda dan tongkang ditahan dan diiringi ke Jeti KOMTAS.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan sebuah bot tunda dan tongkang di Tanjung Po, sekitar jam 11.55 pagi Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, bot tunda dan tongkang terbabit ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin. 

Menurutnya, semasa pemeriksaan dilakukan, nakhoda bot terbabit gagal mempamerkan dokumen Domestic Shipping License (DSL) yang sah.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tunda dan tongkang berkenaan dikendalikan oleh sembilan kru termasuk nakhoda, empat orang warga Indonesia dan lima orang warga India berumur lingkungan 26 tahun hingga 49 tahun. 

"Kesemua mereka mempunyai pengenalan diri yang sah," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kesemua kru serta bot tunda dan tongkang ditahan dan diiringi ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas untuk siasatan lanjut. 

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 bagi kesalahan yang dilakukan.

APMM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, jenayah maritim atau kecemasan di laut terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 010-7728909 yang beroperasi 24 jam.

  • oleh
  • Advertisement