Anda di sini

160 penghuni, 100 kakitangan PWKK dirai dalam program jati diri, rumah terbuka

Advertisement
 Abby berkongsi pengalamannya kepada media semasa program itu.
BERKONGSI: Abby berkongsi pengalamannya kepada media semasa program itu.
 Nora merakamkan gambar bersama penghuni, kakitangan PWKK serta pengamal media semasa program terbabit.
KENANGAN: Nora merakamkan gambar bersama penghuni, kakitangan PWKK serta pengamal media semasa program terbabit.

KOTA KINABALU: Seramai 160 penghuni serta 100 kakitangan Jabatan Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK) dirai dalam Program Jati Diri Rumah Terbuka Kaamatan dan Gawai PWKK di sini.

Pengarah Penjara Sabah dan Labuan Nora Musa berkata program diadakan khas bagi meraikan kakitangan berasal dari Sarawak yang tidak sempat pulang meraikan perayaan Gawai bersama keluarga.

“Sebelum ini kakitangan di PWKK adalah penduduk yang berasal dari Sabah sendiri, bagaimanapun sejak beberapa tahun  kebelakangan ini terdapat pertukaran serta pertambahan kakitangan yang berasal dari Sarawak mahupun semenanjung.

“Kita mengadakan program khas bagi meraikan kakitangan bertugas yang tidak dapat balik ke kampung halaman di Sarawak dengan hidangan berkonsepkan bumi Kenyalang sendiri,” katanya semasa ditemui pada program terbabit di sini.

Turut hadir Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu Kesumawati Ilas.

Beliau berkata program itu juga diadakan bagi mendedahkan kepelbagaian kaum serta etnik yang ada di Sabah kepada kakitangan yang berasal dari semenjanung.

“Program ini dapat menonjolkan keunikan yang ada di Sabah dan Sarawak kepada kakitangan kita yang datang dari semenanjung agar mereka lebih dekat dan faham tentang kepelbagaian yang ada di negeri ini.

“Program yang dijalankan dengan pembabitan antara kakitangan serta penghuni juga merapatkan lagi silaturrahim kedua belah pihak,” katanya.

Sementara itu bagi salah seorang penghuni, Abby, 21, yang turut serta dalam program itu sangat gembira kerana diberi kesempatan meraikan sambutan itu bersama kakitangan PWKK.

Katanya suasana ceria sepanjang program itu membuatkan kerinduan bersama keluarga sedikit sebanyak terubat berikutan kesemua kakitangan PWKK sudah dianggap seperti ahli keluarganya sendiri.

“Ada hikmah saya dimasukkan ke sini kerana bukan hanya boleh mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam tetapi turut merasa kasih sayang seorang ibu daripada kakitangan PWKK yang membimbing kami setiap hari,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Abby berkata dia dimasukkan ke penjara selepas ditahan bersama dua kilogram syabu selepas diarahkan oleh ibu saudaranya mengedar dadah.

“Selepas ibu saya meninggal dunia, saya tinggal bersama ibu saudara saya dan dia mengarahkan saya untuk mengedar dadah sebagai kelangsungan hidup, saya terpaksa akur kerana tiada tempat bergantung bagi menyara kehidupan harian.

“Sejak itu tiada lagi kasih sayang yang diterima sehinggalah saya ditahan dan dimasukkan ke PWKK, di sinilah saya belajar banyak perkara termasuk memahami siapa yang menyayangi kita serta mendalami ilmu agama yang tidak pernah diajar oleh sesiapa semasa saya berada di luar,” katanya.

Abby adalah pemenang pertandingan Tazkirah selama lima minit tentang kebaikan kepada ibu bapa yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Jabatan Penjara Sabah berkat pembelajarannya di PWKK.

Beliau juga khatam al-Quran sebanyak 10 kali selain menghafal banyak surah sepanjang berada di PWKK berbanding tiada pengetahuan agama sebelum ini.

Katanya kerinduannya kepada ibu dan bapanya lebih terasa selepas mendalami ilmu agama kerana semua ini tidak sempat dipelajari semasa bersama-sama mereka sebelum ini.

“Sekiranya diberi peluang untuk dibebaskan kelak, saya akan membawa adik saya untuk mendalami ilmu agama dan mendedahkan mereka ilmu yang saya peroleh di PWKK,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement