Anda di sini

10 Ahli Parlimen dipilih pengerusikan JKPK Parlimen Ke-15

Advertisement
Johari (duduk, tengah) ketika mengadakan sidang media mengenai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Ke-15 (JKPK) di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
Johari (duduk, tengah) ketika mengadakan sidang media mengenai Ahli JKPK Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini mengumumkan senarai nama 10 Ahli Parlimen yang dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen Ke-15 bagi membantu usaha menangani isu-isu rakyat dan negara.

Beliau berkata Ahli Parlimen yang dipilih daripada blok pembangkang dan kerajaan itu akan bertindak sebagai pengerusi JKPK serta berperanan sebagai pelengkap kepada usaha pentadbiran kerajaan dalam membantu menyelesaikan isu-isu berbangkit demi memajukan negara.

"Mereka boleh membincangkan semua perkara yang sesuai di bawah terma rujukan tanpa perlu dirujuk kepada Menteri namun, perkara yang dibincangkan tidak boleh melibatkan perkara yang telah, sedang dan akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Dalam JKPK ini juga ada Ahli Parlimen dari pihak pembangkang, mereka dwipartisan dan menghayati isu-isu itu bukan dari sudut politik, tetapi lebih kepada isu negara dan hak kita bersama," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sekiranya terdapat pertikaian terutama berkaitan saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan dan berkaitan prosedur perjalanan mesyuarat JKPK.

Sepuluh pengerusi JKPK yang diumumkan itu adalah Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) sebagai pengerusi JKPK Kewangan dan Ekonomi; Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) - JKPK Kesihatan; dan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) - JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Turut tersenarai Cha Kee Chin (PH-Rasah) bagi JKPK Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian; Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) - JKPK Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi; dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) - JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.

Selain itu, Yeo Bee Yin (PH-Puchong) dipilih untuk JKPK Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat; Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) - JKPK Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) - JKPK Keselamatan; dan Wong Chen (PH-Subang) - JKPK Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa.

Johari berkata dengan penglibatan aktif Ahli Parlimen berpengalaman daripada pihak kerajaan dan pembangkang itu, JKPK mampu berperanan sebagai semak dan imbang kerajaan, sekali gus membantu pihak Parlimen menyelesaikan isu-isu berbangkit khususnya melibatkan soal rakyat.

Katanya, jawatankuasa itu akan disokong sekretariat yang diperuntukkan oleh Parlimen melibatkan dua orang pegawai atau penyelidik yang berkhidmat sepenuh masa. - BERNAMA

Advertisement