Anda di sini

Swiatek melangkah ke pusingan keempat Terbuka Perancis, Gauff tamatkan penampilan memberangsangkan Andreeva

Advertisement
 

PARIS: Pemain wanita nombor satu dunia yang juga juara bertahan, Iga Swiatek, mengambil masa hanya 51 minit untuk melangkah ke pusingan keempat kejohanan Terbuka Perancis sementara Coco Gauff menamatkan penampilan sulung memberangsangkan Mirra Andreeva pada Sabtu.

Swiatek mudah menewaskan pemain ranking ke-80 dunia dari China, Wang Xinyu 6-0 dan 6-0 dengan 21 pukulan kemenangan ketika jaguh dari Poland itu menghampiri impian menjadi pemain wanita pertama sejak Justine Henin pada 2007 yang berjaya mempertahankan kejuaraannya di sini.

Dari enam set yang dia harungi setakat ini, empat adalah kemenangan tanpa balas. Dalam keseluruhan, dia hanya hilang lapan mata sepanjang tiga pusingan perlawanan.

“Ia benar-benar prestasi mantap dari saya. Ia bukan mudah untuk kekal disiplin dan fokus,” kata Swiatek.

“Saya menjaga segala-galanya dan saya agak gembira dengan prestasi saya.”

Swiatek, yang juga muncul juara di sini pada 2020 dan  memburu kejuaraan Grand Slam yang keempat dalam kariernya, akan bertemu sama ada juara Terbuka Amerika (AS) 2019, Bianca Andreescu atau Lesia Tsurenko untuk satu tempat ke suku akhir.

Laluannya menjadi mudah pada awal hari yang sama lepas apabila juara Wimbledon, Elena Rybakina, kemungkinan lawan di separuh akhir, menarik diri kerana tidak sihat.

Rybakina dijadual bertemu dengan Sara Sorribes Tomo dari Sepanyol di pusingan ketiga tetapi dia menarik diri kerana demam.

“Saya tidak berasa selesa semalam dan sehari sebelumnya. Saya tidak dapat tidur semalam,” kata Rybakina, 23.

“Saya mengalami demam dan pening kepala selain sukar untuk bernafas. Saya cuba untuk menjalani latihan tetapi saya merasakan keputusan menarik diri adalah tepat.”

Sorribes Tormo, pemain ranking ke-132 dunia, akan bermain pada minggu kedua satu kejohanan Grand Slam buat kali pertama dalam kariernya. Dia akan bertemu sama ada Ekaterina Alexandrova dari Rusia atau Beatriz Haddad Maia dari Brazil.

Gauff, pemain ranking keenam dunia yang juga naib juara di sini tahun lepas, bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Andreeva, 6-7(5/7), 6-1 dan 6-1.

Andreeva, yang berada pada ranking ke-143 dunia dan memulakan kejohanan dari kempen kelayakan, adalah pemain paling muda yang melangkah ke pusingan ketiga kejohanan di sini sejak 2005.

“Mirra masih sangat muda dan mempunyai masa depan yang cerah,” kata Gauff. “Saya masih ingat di sini apabila saya berusia 16 tahun, jadi dia mempunyai masa depan yang cerah. Saya pasti anda akan melihat lebih banyak perlawanan di antara kami.”

Dengan kemenangan itu, Gauff, 19, akan bertemu sama ada rakan senegara dari AS, Kayla Day atau Anna Karolina Schmiedlova dari Slovakia.

Dalam bahagian lelaki, naib juara tahun lepas, Casper Ruud, tewas set pertama sebelum bangkit menewaskan Zhang Zhizhen dari China 4-6, 6-4, 6-1 dan 6-4.

Zhang, 26, mengintai peluang menjadi pemain lelaki pertama dari China sejak 1936 yang berjaya melangkah ke pusingan keempat kejohanan di sini.

“Ia adalah set pertama yang sukar, dia memukul banyak pukulan kemenangan dan saya gagal mencari jawapan,” kata Ruud, pemain ranking keempat dunia.

Ruud akan bertemu Nicolas Jarry dari Chile, yang menewaskan Marcos Giron dari AS 6-2, 6-3, 6-7 (7/9) dan 6-3.

Turut meneruskan kemaraan buat kali pertama di minggu kedua kejohanan ialah pemain ranking ke-49 dunia, Tomas Martin Etcheverry dari Argentina, yang mengejutkan pilihan ke-15 kejohanan, Borna Coric 6-3, 7-6(7/5) dan 6-2. — AFP
 

Advertisement