Anda di sini

Sarawak berhasrat jadi tuan rumah Kejohanan Ranking Dunia di bawah WDSF tahun depan

Advertisement
Fatimah menyampaikan hadiah kepada juara bagi ‘Youth A Open Latin Category’ untuk pasangan Ooi Ken Vin dan Zoe Tan Zi Wei pada majlis Makan Malam BOIDC di Kuching, malam Ahad.
Fatimah menyampaikan hadiah kepada juara bagi ‘Youth A Open Latin Category’ untuk pasangan Ooi Ken Vin dan Zoe Tan Zi Wei pada majlis Makan Malam BOIDC di Kuching, malam Ahad.

KUCHING: Sarawak berhasrat untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara Kejohanan Ranking Dunia di bawah Persekutuan Sukan Tarian Dunia (WDSF) tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdulllah berkata, keinginan untuk mengelola kejohanan berprestij itu disebabkan Sarawak mempunyai kemampuan dari segi fasiliti dan sebagainya.

Menurutnya, tahun 2024 akan menjadi tahun yang penting untuk Sarawak kerana telah dipilih menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

“Jadi mengapa tidak kita (Sarawak) anjurkan satu lagi acara besar seperti Kejohanan Ranking Dunia di bawah WDSF memandangkan kita mempunyai kemudahan yang cukup baik dan kemampuan untuk melaksanakannya. 

“Apatah lagi, perkara ini turut diakui oleh ketua pengadil bagi Borneo Open International DanceSport Convention and Championship Competition’ (BOIDC) ketika saya dimaklumkan tadi,” katanya ketika berucap semasa menghadiri majlis Makan Malam Kejohanan itu di sini, malam Ahad.

Hadir sama,  Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA) Dato Richard Wee, Setiausaha Agung DanceSport Asia (DSA) John Fam, Pengerusi Penganjur BOIDC 2023 Chan Tyng Tyng dan tetamu kehormat lain.

Bagi pihaknya, Fatimah berkata beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Kementerian dan juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Selain itu, saya turut akan memaklumkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan kabinet Sarawak tentang kemungkinan untuk menjadi hos bagi Kejohanan Ranking Dunia WDSF.

“Justeru, hantarkan sahaja surat (dokumen) kepada Kementerian saya dan selebihnya akan kita lakukan untuk anda,” jelasnya.

Mengenai majlis BOIDC 2023, Fatimah memuji usaha pihak penganjur dalam memberi peluang untuk menyaksikan pelbagai persembahan tarian  dari seluruh negara.

“Tarian bukan sekadar seni atau hiburan, tetapi ia juga merupakan satu sukan dan apabila kita melihat penari membuat persembahan, kita tahu mengapa ia dimasukkan sebagai acara sukan.

“Di Sarawak, kita meraikan keharmonian budaya dengan menerapkan unsur tarian juga yang sekali gus boleh menjadi satu bentuk terapi dan memberikan kegembiraan serta keseronokan bagi mereka yang gemar menari,” ujarnya.

BOIDC 2023 merupakan acara sukan tarian antarabangsa yang pertama diadakan di Sarawak.

Selain Malaysia, turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu termasuk United Kingdom, Filipina, Australia, China, Hong Kong, Itali, Perancis, Slovenia, Indonesia, Chinese Taipei dan Singapura.
 

  • oleh
  • Advertisement