Oleh: Maliah Adenan
Malam masih pekat. Aku ditemani bunyi paluan gong dan cahaya dari temasya yang menerangi jalanku sehinggalah aku sampai betul-betul di depan sebuah rumah. Aku tidak jelas tentang rupa sebenar rumah ini. Dindingnya tinggal separuh sahaja, manakala bahagian yang terdedah, tak berdinding menjadi laluan keluar masuk cahaya dan bunyi.
Aku nampak seseorang menuruni anak tangga dengan hiasan di kepala. Dia terus melangkah ke belakang, bertemu seseorang. Biarpun aku tidak dapat menangkap perbualan mereka, namun cahaya dari nyalaan pemetik api sesekali menampakkan wajah kedua-duanya yang sedang muncung, mengepit rokok di tengah bibir.
Dengan perasaan separuh sabar, aku menaiki anak tangga tadi. Semakin menghampiri tingkat atas rumah itu, semakin kedengaranlah bunyi pukulan gong dan riuh-rendah keramaian. Menaiki anak tangga yang diperbuat daripada kayu bulat selebar satu tapak kaki tanpa pemegang itu memaksa aku melangkah condong sambil sedikit membongkok untuk sampai ke atas.
Memang benar sangkaanku. Ramai orang di sini. Di tengah-tengah ruang pesta ada sesuatu yang nampak seperti kuda kayu berdiri. Tetapi atasnya menyerupai seekor burung. Yang pasti punya ukiran dan kayu hitam itu seperti kelunturan warna pekatnya.
Tidak begitu jauh di belakang binaan itu tadi, dua orang lelaki duduk di samping kiri dan kanan sepasang gong tembaga yang sudah kecelaruan warna asalnya. Kedua-dua lelaki berpakaian hitam berjalur merah itu memukul gong dengan begitu bersemangat. Seorang lelaki tua kemudian datang. Dia mengenakan jubah putih di luar dan berikat kain merah pada bahagian pinggang. Kepalanya dililit kain batik, gaya orang turun ke bendang. Dia mendekati binaan kayu hitam di tengah ruang pesta tadi sambil terkumat-kamit. Ucapannya samar-samar, tenggelam dalam paluan gong yang tidak henti-henti.
Empat orang wanita memakai baju jipo pendek dan skirt bidang fabrik satin melangkah ke tengah ruangan. Pakaian mereka lengkap dengan aksesori seperti selempang merah, tali pinggang syiling perak dan sipiah di kepala. Keempat-empat wanita ini berdiri sambil dipimpin oleh orang lain. Mereka seperti orang separuh sedar, sambil mengumat-ngamitkan bibir, mereka menari dengan menutup mata.
Kemudian, mereka duduk belunjur kaki. Lelaki berjubah putih tadi menggerak-gerakkan bibirnya sebelum menaburkan sesuatu di sekeliling. Tiba-tiba, salah seorang daripada wanita tadi menjerit. Dia nampaknya lebih muda daripada tiga yang lain. Dia menjerit seperti kerasukan. Anak-anak muda yang berdiri tidak jauh darinya mula ketakutan. Cuma sumbuk yang berdiri di hujung ruangan yang tampak lebih tenang berbanding yang lain.
Aku pula terkejut apabila penggera berbunyi berkali-kali. Ternyata mimpi itu datang lagi, bahkan berulang-ulang sehingga malamku terasa lemas olehnya. Semuanya berpunca daripada kajian tugasan pengajian tahun akhir yang perlu aku siapkan. Sengaja aku memilih etnik Bidayuh Bau. Sambil membuat tugasan, bolehlah aku mengenali susur galur keturunanku yang menetap berhampiran Batang Kayan.
“Belum bangun lagi?” Pintu bilikku dibuka.
“Kejap lagi mak,” aku menjawab ringkas seraya menguntum senyum.
“Kenapa kamu nampak semacam saja? Mak hairan dengan perubahan kamu sejak balik dari kampung. Ada apa-apa yang ingin kamu kongsikan?” Pandangan kami mula bertaut.
“Mak, masa Rozah mengikuti upacara gawai hari tu, Rozah ada nampak sesuatu,” mak terus menunggu lanjutan ceritaku.
“Benda yang dipuja oleh mereka …” Aku mula menjelaskan tentang bentuk, tinggi dan warnanya.
“Oh ..., itu rasang namanya.” Selanjutnya mak menceritakan tentang rasang yang disimpan oleh nenek di loteng rumahnya.
“Maknanya tangga di tepi pintu hadapan tu, sumbuk guna untuk naik menyimpan rasang. Betul tak mak?” Mak hanya mengangguk-angguk sambil mengecutkan lebar bibirnya.
“Dari mana asalnya benda tu?”
Beberapa minit berlalu, mak membiarkan aku menanti penjelasannya. Aku mengikat perasaan mak dengan pandangan penuh harap. Akhirnya, emak beralah dengan memulakan cerita tentang rasang.
Menurut mak, sumbuk telah bermimpi bahawa dewa-dewa telah turun dari kayangan menuju ke puncak Gunung Santubong. Dewa-dewa itu, ditugaskan untuk mencari wanita-wanita terpilih bagi melindungi rasang. Wanita-wanita itu nanti, akan dikurniakan kelebihan untuk berhubung dengan para dewa setelah melakukan ritual tertentu.
“Maksudnya siapa yang memiliki rasang boleh berhubung dengan alam ghaib?” Aku semakin teruja.
“Kamu ingat simpan rasang tu semudah menyimpan pakaian?” Soal mak seakan-akan mengetuk minda yang belum lagi bangkit sepenuhnya daripada mimpi semalam.
Aku ditinggalkannya begitu. Fikiranku ditarik perlahan-lahan mengenangkan kejadian yang berlaku di rumah sumbuk. Waktu itu sepupuku, Atok baru saja masuk ke dalam. Dia senyum kepadaku dan rakan sepengajianku, iaitu Bibizizan lalu bercakap namun tidak kami dapat mendengar suaranya. Pada mulanya, aku fikir Atok sekadar berjenaka. Dia menghulurkanku limau berkulit hijau yang sudah separuh dimakan. Aku menolak dengan menggeleng-geleng kepala.
Sekali lagi dia bercakap. Masih tanpa suara. Kalau diturutkan hati, mahu saja penamparku mencium wajahnya. Tapi, apabila difikirkan semula, timbul rasa hairanku dengan tingkahnya ketika itu. Setahu aku, Atok budak yang lurus dan tidak mungkin dia bergurau begitu. Namun tidak sempat untuk aku memikirkannya lebih panjang. Atok sudah pun berlalu dan terus pulang.
Malam itu, belum pun sempat aku dan Bibizizan melelapkan mata, tiba-tiba dari luar kedengaran suara somba, merobek waktu tenang kami mencipta mimpi dalam fikiran masing-masing. Aku keluar dari bilik. Sumbuk sudah membuka pintu depan. Somba datang bersama Atok yang masih memakai seluar pendek tadi, bajunya saja yang berubah warna.
Walaupun mereka berbual dalam bahasa Bidayuh Bau, aku boleh memahaminya sedikit. Kata somba, anaknya Atok sudah hilang suara sejak siang tadi. Malah dia juga kehilangan pendengaran. Somba nampak begitu sedih. Sekejap-sekejap dia memandang anaknya. Hati bapa tentulah pedih melihat anaknya yang selama ini normal ditimpa musibah sebegini, lebih-lebih lagi semuanya berlaku pula dengan begitu mendadak dan tidak diketahui puncanya.
Sumbuk menenangkan anak lelakinya, sebelum masuk ke dalam, meninggalkan aku seketika bersama dua beranak itu.
“Somba, duduk dulu. Tadi Atok ada datang ke sini. Atok memang bercakap dengan Rozah. Tapi Rozah tak dapat dengar apa yang disebutnya. Kemudian dia pun pulang begitu saja”. Air mata somba sudah pun menyelaputi pandangannya. Aku cuba menenangkan somba sambil mengharapnya untuk bersabar.
Sumbuk datang bersama kain hitam. Dia berlunjur lalu menghamparkan kain tersebut menutupi kakinya. Di tengah kain itu dia menabur beras sebelum membaca mantera. Gaya bacaannya seperti orang berlagu. Suaranya sayup-sayup, sekadar boleh didengar, tapi tidak dapat ditangkap butirannya. Dia diam dan memejamkan mata sejenak. Apabila matanya dibuka, dia memberitahu dengan nada berbisik kepada somba tentang perkara yang berlaku.
Sumbuk kemudian naik ke loteng bersama lampu minyak tanah. Apabila turun dari loteng, sumbuk terkumat-kamit membaca sesuatu sebelum menghembuskannya pada kanan, kiri dan ubun-ubun Atok.
“Kamu macam mana?” Tanya sumbuk kepada Atok.
“Tadi tak ada sesiapa yang dengar suara saya. Apabila orang bercakap pun, saya tak boleh dengar,” kata-katanya menyebabkan somba terus mendakapnya dengan air mata yang sudah meleleh.
“Syukur,” kataku sambil senyum memandang semuanya.
Sumbuk kemudian berpesan supaya sesiapa yang makan atau membawa limau tidak dibenarkan untuk masuk ke rumahnya. Itu pantang larang. Kalau dilanggar, maka hal-hal buruk seperti apa yang berlaku kepada Atok akan berulang lagi. Kata sumbuk, semangat yang menguasai rasang itu tidak menggemari bau limau. Tambah sumbuk juga, semangat itulah yang menampar Atok sehingga Atok hilang suara dan pendengaran.
Esok sumbuk terpaksa melakukan upacara ritual kecil di baruk. “Sumbuk, boleh Rozah dan Bibizizan ambil gambar dan video?” Sumbuk mengizinkan dengan syarat kami tidak boleh bersuara. Kami berdua senyum, menyetujui syarat itu.
Esoknya, semasa kami berdepan baruk, aku baru perasan pada puncak atap nipah berbentuk segi tiga itu, terpacak kayu berbentuk burung. Tetapi jika diamati, kayu itu nampak seperti penanda arah. Bentuknya yang membulat, mempunyai dinding buluh yang bertingkap dengan penahan kayu. Sementara tiangnya semua berkayu bulat. Baruk di kelilingi rumah-rumah, kalau diperhatikan, semuanya dibina di atas dan punya ruang di bawah lantai setiap binaan.
Sumbuk mendahului kami untuk naik ke baruk. Dia memegang piring yang sudah diletak sirih, kapur, pinang dan rokok nipah. Ketika aku hendak merakam video keadaan di sekitar ruangan itu,tiba-tiba berlaku gangguan pada skrin perakam. Paparan menjadi gelap sehingga aku tidak dapat merakam apa-apa pun. Terpaksa aku menghentikan rakaman dan memulakannya semula. Bibizizan sudah menangkap beberapa gambar sumbuk. Aku kemudian tergesa-gesa merakam sumbuk yang sedang meletakkan piring tadi pada tempat bergantung. Mulutnya yang mengumit-ngumit menjadi perhatian.
Selesai semuanya, aku dan Bibizizan diajak oleh isteri somba untuk menemaninya mencari rebung di dalam hutan di belakang rumah sumbuk. Kami pergi setelah mendapatkan kebenaran sumbuk. Aku sempat bertanya pada isteri somba tentang keadaan anaknya, Atok. Katanya, Atok sudah pulih seperti biasa. Namun dia masih takut-takut untuk berkunjung ke rumah sumbuk kerana khuatir akan berlaku perkara buruk yang lain.
“Tapi, kalau kita tak melanggar pantang, rasanya tak ada masalah kan?” Tanyaku lagi.
Namun, isteri somba seperti hilang pendengaran pula oleh pertanyaan itu. Dia sudah menghampiri rimbunan buluh hijau. Segera tangannya mematah rebung-rebung yang ada di situ. Begitu mudah dan bersahaja dia melakukannya.
“Bekas rebung tu, kamu tutup dengan daun-daun kering,” pinta isteri somba yang sibuk memasukkan rebung ke dalam plastik merah.
Apabila sudah agak jauh kami meninggalkan tempat rebung tadi, barulah isteri somba menjelaskan kenapa bekas rebung itu perlu ditutup dengan daun kering. Dalam tempoh kurang seminggu selepas sambutan gawai, sudah bermacam-macam pantang larang yang aku dengar.
“Kamu berdua singgahlah.”
Isteri somba begitu bersungguh-sungguh mengajak kami makan tengah hari di rumahnya. Dia mahu memasak rebung yang diambil tadi. Kami bersetuju dan membantunya masak. Atok yang turut berada di dapur asyik membisikkan kepadaku tentang mimpi anehnya dua malam berturutan. Aku hanya membalas dengan senyuman.
Setelah sampai ke rumah sumbuk, aku segera menukar pakaian kerana sudah mandi di rumah somba. Bibizizan pula sibuk mengemas barang-barangnya. Lagi dua hari kami akan pulang. Malam nanti, aku akan menemu bual sumbuk, ada beberapa adat yang aku masih belum jelas.
Lewat petang itu, hujan tiba-tiba turun, sedangkan mentari masih menyinar. Sumbuk segera menutup tingkap dan pintu rumahnya. Pada ketika aku sedang memerhatikan gelagat sumbuk, aku dikejutkan oleh sentuhan Bibizizan pada bahuku.
“Zah, aku rasa aku dah terkena miang rebung,” dia menunjuk lengannya yang kelihatan seperti kesan pukulan dan kemerahan. Aku memberitahu sumbuk. Sumbuk segera memerhatikan tanda-tanda gatal itu, lalu menggeleng-geleng. Dia mula menyediakan tempat membakar kemenyan dan meletakkan kulit-kulit bawang di atasnya. Asap nipis daripada kulit bawang yang dibakar itu dikipas-kipasnya dengan tangan supaya mengenai Bibizizan. Sesekali aku lihat mulutnya kumat-kamit, membaca sesuatu.
“Ketika hujan sudah pulang, panas masih bertahan dan terdengar suara burung, ‘ada berita tidak berapa baik’,” kata sumbuk dalam bahasa Bidayuh.
Pandanganku mengekori gerak-geri sumbuk seakan-akan mendesaknya untuk menjelaskan maksud di sebalik kata-kata itu tadi.
“Agaknya ada yang akan pergi,” ujar sumbuk dengan suara halusnya namun dengan nada yang tajam sekali.
Sumbuk memberitahu Bibizizan sudah diludah oleh semangat yang menguasai rasang kerana bau rebung dan miangnya masih melekat pada tubuh dan pakaian Bibizizan. Sumbuk menasihati kami supaya lebih berhati-hati dengan pantang larang yang sudah diajarkan.
Tidak lama selepas itu, somba pun datang memberitahu kami bahawa anak pak cik yang membawa bot tambang baru saja meninggal. Katanya budak itu meninggal akibat demam panas selama beberapa hari. Sumbuk kurang setuju. Kata sumbuk, budak itu keluar pada waktu hujan panas dan sudah terkena jaring yang ditebar oleh makhluk halus.
Kami terpaksa menangguhkan jadual asal untuk pulang kerana kematian itu. Sememangnya sudah menjadi adat warisan Bidayuh, seluruh kampung akan berkabung selama tiga hari apabila berlaku kematian. Sesiapa pun tidak dibenarkan keluar atau masuk sesuka hati dalam tempoh berkenaan kerana bimbang roh jahat yang berkeliaran akan mengekori mereka. Bukan itu sahaja, pengebumian mayat si mati juga akan ditangguhkan sehingga semua ahli keluarga si mati sempat bertemu dan berkumpul.
Oleh sebab berkabung, mejeng terpaksa dibatalkan juga walaupun jemputannya sudah disampaikan ke kampung seberang. Begitu juga dengan konsert kumpulan Lelek. Kami nampaknya tidak berpeluang merakam persembahan budaya tersebut yang menjadi pelengkap kepada acara sambutan gawai.
“Rozah!” Suara emak benar-benar mengejutkan aku. Tersentak hingga ke jantung rasanya.
“Kamu belum bersiap lagi?” Emak menunjuk jam dinding.
Aku terus bergegas. Harap-harap aku boleh sampai tepat pada waktunya. Puan Yati agak tegas orangnya. Tambahan pula, kami akan membincangkan laporan tugasan pasangan masing-masing. Aku dan Bibizizan sangat berharap tugasan ini bakal menerima penghargaan yang sewajarnya.
Glosari
baju jipo pakaian tradisional wanita Bidayuh Bau Jagoi
baruk rumah untuk mengadakan aktiviti sosial, kemasyarakatan, agama dan adat
mejeng pesta joget
rasang sturktur binaan daripada kayu yang digunakan dalam ritual pemujaan semangat padi
sipiah penutup kepala wanita Bidayuh Bau Jagoi
somba bapa saudara
sumbuk nenek