Anda di sini

Polis berjaya memberkas lima suspek kes samun

Advertisement
Tangkap layar berhubung kes samun berkawan di sebuah premis makanan di Batu 11, Jalan Matang Kuching pada 3 Jun lalu.
Tangkap layar berhubung kes samun berkawan di sebuah premis makanan di Batu 11, Jalan Matang Kuching pada 3 Jun lalu.

KUCHING: Polis berjaya memberkas lima individu yang disyaki terlibat dalam kes samun yang berlaku di kedai serbaneka dan kedai makan di sekitar kawasan Batu Kawa dan matang di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua individu itu berjaya dicekup menerusi beberapa siri serbuan berasingan.

“Seramai empat suspek iaitu lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 34 hingga 41 tahun diberkas sekitar jam 5.30 petang pada 4 Jun lalu.

“Keempat-empat suspek itu diberkas hasil serbuan oleh anggota yang terdiri daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan anggota Bahagian D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak serta Balai Polis Batu Kawa di sebuah rumah di Jalan Arang, Kuching,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal menambah, manakala seorang suspek berusia 38 tahun berjaya diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Padawan bersama IPD Kuching di sebuah kedai makan di Jalan Abell di sini, sekitar jam 12.10 tengah malam tadi.

“Polis penangkapan kelima-lima suspek telah berjaya menyelesaikan beberapa kes samun dan rompak yang berlaku di kedai makan dan serbaneka di sekitar kawasan Batu Kawa dan Matang, Kuching,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kes samun berkawan di sebuah kedai makan di Batu 11, Jalan Matang Kuching pada 3 Jun sekitar jam 3.01 pagi.

“Pengadu lelaki berumur 27 tahun semasa berada di bahagian luar kedai telah didatangi tujuh individu yang tidak dikenali menutup muka dengan topeng dan membawa pelbagai senjata tajam serta tukul besi pada jam 12.50 malam.

“Pengadu bersama pelanggan dan pekerja yang lain sempat melarikan diri.

“Setelah suspek beredar menggunakan dua kenderaan, pengadu telah melakukan pemeriksaan ke atas kedai terbabit sebelum membuat laporan polis,” jelasnya.

Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Kata Zainal, polis turut menasihati pemilik serta pengusaha kedai serbaneka mahupun kedai makan yang beroperasi 24 jam supaya meningkatkan tahap keselamatan persekitaran.

“Antaranya ialah menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pada sudut yang strategik, memasang lampu agar kawasan persekitaran premis terang serta memasang pagar di kaunter jualan untuk keselamatan pekerja.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement