Anda di sini

Perlu pantas aplikasi kaedah pertanian lebih moden

Advertisement

PPNS perlu menjalinkan kerjasama dengan syarikat pertanian untuk berkongsi pengalaman, kemahiran dan teknologi: Dr Rundi

Dr Rundi menyaksikan pertukaran dokumen membabitkan PPNS dan Ning Planters Sdn Bhd untuk Projek Tanaman Nanas Sarawak Gold (SG1) di Jalan Tukau, Bakam semalam.
Dr Rundi menyaksikan pertukaran dokumen membabitkan PPNS dan Ning Planters Sdn Bhd untuk Projek Tanaman Nanas Sarawak Gold (SG1) di Jalan Tukau, Bakam semalam.

"Ahli-ahli PPNS bukan sahaja boleh belajar untuk mengkomersialkan pertanian tetapi juga mempelajari teknologi dan kemahiran serta mengubah minda serta pemikiran terhadap industri pertanian.” 

Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah 

Oleh Mohamad Norhadie Sahari

MIRI: Pemain industri berasaskan pertanian perlu bergerak pantas serta mengaplikasi kaedah pertanian yang lebih moden berasaskan teknologi bagi pengeluaran hasil dalam kuantiti yang besar.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, untuk itu amat perlu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) menjalinkan kerjasama dengan syarikat pertanian untuk berkongsi pengalaman, kemahiran dan teknologi.

"Ahli-ahli PPNS bukan sahaja boleh belajar untuk mengkomersialkan pertanian tetapi juga mempelajari teknologi dan kemahiran serta mengubah minda serta pemikiran terhadap industri pertanian.

"Mereka tidak harus menjadi 'rakan niaga tidur' sebaliknya lebih produktif serta berkualiti baik agar mereka dapat bergerak pantas dalam industri berasaskan pertanian di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian untuk Projek Tanaman Nanas Sarawak Gold (SG1) membabitkan PPNS dan Ning Planters Sdn Bdn di Jalan Tukau, Bakam semalam.

Menurutnya, strategi ketika ini adalah untuk mendedahkan PPNS terlibat sama dengan syarikat yang mengasaskan projek pertanian secara besar-besaran di Sarawak.

"Ini adalah untuk memastikan mereka kekal stabil dan relevan dalam industri pertanian meskipun terdapat cabaran untuk mengubah minda mereka ke arah pertanian yang lebih komersial," jelasnya.

Tambah Dr Rundi, jaminan keselamatan makanan ketika ini telah diambil perhatian serius oleh kerajaan dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengeluarkan produk berkualiti.

"Ini bukan untuk pasaran tempatan sahaja tetapi permintaan tinggi dari luar Sarawak kerana industri pertanian berkait rapat dengan industri makanan yang menjana keuntungan," jelasnya.

Tambahnya, jika kerajaan berjaya melahirkan pertani berkemahiran dan bergerak ke arah komersial maka tidak mustahil Sarawak menjadi kuasa besar pertanian seperti Thailand.

Sementara itu, projek penanaman SG1 di atas tanah seluas 100 ekar akan bermula bulan ini dan jangkaan 80 ekar tanah akan ditanam dengan baka SG1.

Menurut Dr Rundi, hasilnya nanti boleh dijual kepada pemain industri kecil-kecilan pada Ogos tahun depan.

Pada 13 Disember lalu, satu varieti baharu nanas telah didaftarkan TG Agro Fruits Sdn Bhd di bawah Jabatan Pertanian Malaysia atas nama Nanas Emas Sarawak (SG1). 

SG1 telah diteliti secara meluas dan menjalani penanaman komersial oleh Ning Planters Sdn Bhd dan syarikat gabungannya TG Agro Fruits untuk menguji kesesuaian varieti tersebut untuk penanaman berskala besar di Sarawak selama tiga tahun sebelum didaftarkan. 

SG1 telah terbukti mempunyai potensi yang besar untuk bersaing dengan varieti komersial lain seperti Nanas MD2 yang telah mencatat kejayaan besar di Malaysia. 

Dengan kitaran tanaman yang lebih pendek iaitu hanya 10 bulan dari tempoh penanaman hingga penuaian, keupayaan untuk menahan masa penyimpanan yang lama, rasa manis, berair dan kandungan gula tinggi menjadikannya sangat berdaya maju untuk tujuan komersial. 

Pada 14 Februari 2023, dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Nanas Malaysia, Kementerian Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah Sarawak dan TG Agro Fruits Sdn Bhd telah berjaya melancarkan SG1.

Peladang Ning Sdn Bhd ialah syarikat usaha sama yang ditubuhkan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak dan Ning Planters Sdn Bhd sebagai usaha membangunkan SG1 di Sarawak dengan membekalkan baka yang bertauliah kepada pekebun kecil.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dr Gluma Saban, Pengurus Besar Ning Planters Sdn Bhd Dato Yap Foot Loy serta yang lain.
 

Advertisement