Anda di sini

Pemendekan tempoh pengajian mesti efektif, tersusun

Advertisement

Pakej pelaksanaan efektif, tersusun perlu untuk program pengajian dipendekkan kepada tiga tahun

 

"Pertama, jelas sekali UNIMAS akan ikut kerana ini adalah arahan kementerian, kalau ia sudah dijadikan dasar, UNIMAS tidak ada pilihan.” 

Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman
Timbalan Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) UNIMAS

Oleh Patricia Gari

KUCHING: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) harus memperkenalkan pakej pelaksanaan yang efektif dan tersusun untuk 44 program pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dipendekkan tempoh pengajian daripada empat tahun kepada tiga tahun.

Timbalan Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, pemendekan tempoh pengajian melibatkan 44 program berpotensi itu mesti mengikut piawaian antarabangsa iaitu 120 jam kredit (pembelajaran)untuk bergraduan.

Beliau berkata pelaksanaan dasar baharu itu perlu dilakukan dengan lebih berkesan dan tersusun berbanding ketika pertama kali dilaksanakan pada ahkir tahun 1990-an.

"Pertama, jelas sekali UNIMAS akan ikut kerana ini adalah arahan kementerian, kalau ia sudah dijadikan dasar, UNIMAS tidak ada pilihan.

"Perkara seperti ini pernah berlaku di zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan, dahulu pengajian empat tahun disingkatkan kepada tiga tahun dan akhirnya didapati beberapa masalah dalam pelaksanaannya waktu itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Fadzil berkata ketika pelaksanaan pertama dasar itu, ada beberapa fakulti dan program sudah balik semula kepada empat tahun contohnya dalam bidang profesional seperti kejuruteraan, teknologi maklumat dan kaunseling yang mempunyai badan profesional.

Menurutnya, pelaksanaan pengajian tiga tahun mengikut arahan menteri ketika itu, didapati ada antara program-program bermasalah serta terpaksa dilaksanakan empat tahun semula kerana terpaksa akur dengan badan-badan profesional berkaitan.

"Jadi sekarang yang dikatakan dipendekkan kepada tiga tahun ini adalah arahan kali kedua, tetapi pada pandangan kita ia perlu dilaksanakan dengan lebih efektif, berkesan dan tersusun, tidak seperti mana yang berlaku kali pertama dahulu.

"Ketika itu bila dibuat begitu, arahan sahaja untuk tempoh pengajian selama tiga tahun tetapi tidak disusun dengan baik, jadi kursus itu ada yang jam kredit kurang daripada 120 jadi menimbulkan masalah apabila graduan mahu melanjutkan pengajian di seberang laut dan sebagainya," katanya.

Beliau menambah, jam kredit minimum untuk mahasiswa mahasiswi ialah 120 dan diploma 80.

“Apabila diarahkan tempoh dikurangkan pada waktu itu, tak didatangkan bersama pakej bagaimana hendak melaksanakannya, akhirnya pelajar dan universiti menjadi mangsa.

"Jadi pengajian empat tahun terpaksa di 'cramp' dan ada pensyarah atau universiti  mengurangkan kredit sehingga menyebabkan kredit tak sampai 120 dan akhirnya ada pelajar yang terpaksa datang semula ke universiti untuk menambah kredit," jelasnya.

Mohd Fadzil berkata pada masa sama berkemungkinan jangka masa pengajian tiga tahun ini juga memerlukan keperluan kursus-kursus sampingan dikaji semula.

Sebagai contoh katanya, bagi pengajian empat tahun pihak universiti meminta pelajar mengambil (subjek) Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS), kemahiran insani, latihan industri dan sebagainya tetapi dengan pemendekan tempoh pengajian pengajian kepada tiga tahun, keutamaan harus diberikan kepada subjek utama bidang pengajian.

Beliau berkata sama ada tempoh pengajian tiga atau empat tahun, yang harus dipentingkan ialah subjek-subjek utama yang ditawarkan oleh program ijazah yang diikuti berbanding kursus sampingan seperti keusahawanan antaranya.

"Memang kita pihak universiti nak pelajar kita buat semua tetapi jangka masa pengajian terlalu singkat jadi kita terpaksa mengagihkan  kokurikulum itu kepada bidang utama di mana bidang utama pengajian perlu diutamakan.

"Selain pihak universiti perlu tidak terlalu memberi penekanan kepada bidang lain seperti kemahiran insani, keusahawanan dan sebagainya agar pelajar tidak tertekan, pensyarah tidak tertekan.

"Jadi janganlah kita melahirkan graduan yang 'half baked, sana tak dapat, sini pun tak dapat. Ini yang kita tidak mahu berlaku," ujarnya.

Justeru Mohd Fadzil berkata pengajian tiga tahun boleh dilaksanakan terutama bidang-bidang yang tidak memerlukan kelulusan badan profesional seperti kursus sains sosial, kesenian dan sebagainya.

Namun tegasnya lagi dasar baharu itu mesti disertakan dengan pakej pelaksanaan yang lebih efektif dan tersusun bagi memastikan graduan yang dilahirkan benar-benar berkualiti serta menepati piawaian antarabangsa.

Pada Ahad BERNAMA memetik Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai berkata pemendekan tempoh pembelajaran itu akan dapat membantu mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung oleh pelajar.

Pada masa sama ujarnya ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal.

Mohamed Khaled berkata langkah berkenaan adalah usaha berterusan KPT dalam mengemas kini dan menyusun program serta jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara dengan cara terbaik serta menguntungkan semua pihak.
 

Advertisement