Anda di sini

Pelaku penyambungan air, elektrik haram perlu dihukum berat: Masiung

Advertisement
MASIUNG
MASIUNG

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah mencadangkan agar pelaku penyambungan bekalan air dan elektrik secara haram wajar dikenakan hukuman lebih berat.

Katanya, satu Jawatankuasa Siasatan Bebas perlu ditubuh bagi menyiasat kecurian bekalan air dan elektrik yang semakin serius di Sabah. 

“Jika jawatankuasa bebas berkenaan dipersetujui, ia bukan sahaja bertindak menjalankan siasatan tetapi akan mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan termasuk hukuman lebih berat kepada pelaku. 

“Selain itu, Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 perlu disemak semula untuk pindaan baharu yang lebih berat,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini. 

Masiung berkata, isu kecurian air dan elektrik yang diwarisi di Sabah sejak beberapa siri kerajaan lalu banyak dipengaruhi kelemahan penguatkuasaan.

“Kita ingin mengetahui mengapa pegawai penguatkuasa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak menyedari perkara terbabit dan hanya bertindak apabila ada aduan,” katanya.

Menurutnya, masalah ini juga menyumbang kepada krisis air dan elektrik hingga kedua-dua bekalan itu hampir di seluruh negeri terpaksa dicatu. 

Katanya, tumpuan utama ialah siasatan di kawasan perumahan setinggan yang padat dengan pendatang asing selain kilang-kilang dan premis perniagaan. 

“Saya difahamkan selepas pihak berkuasa memotong sambungan haram, hanya selang beberapa hari mereka (pelaku) akan membuat sambungan semula di lokasi lain.

“Justeru, perbuatan ini tidak adil bagi penduduk tempatan yang setia membayar utiliti berkenaan setiap bulan apabila ada pihak lain mendapat bekalan tanpa membuat sebarang bayaran,”katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) ini berkata, masalah pengurusan air di Sabah kini terus meruncing dan membebankan rakyat.

“Ia ditambah dengan pembinaan Loji Rawatan Air Telibong 2 yang membekalkan air ke Kota Kinabalu sepatutnya siap tahun lalu, tetapi mengalami kelewatan,” katanya.

Terdahulu, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 24 Mei lalu, Masiung lantang merungkai masalah air dan elektrik yang semakin kritikal di Sabah.

Beliau mahukan SESB dan JANS turut menyasarkan catuan bekalan itu di kediaman golongan hartawan berpendapatan tinggi termasuk menteri yang serba mampu.

  • oleh
  • Advertisement