Anda di sini

Muatan 'blower' terjatuh akibat tersangkut di jejantas

Advertisement
 Muatan 'blower' yang dibawa sebuah treler terjatuh di jalan selepas tersangkut di jejantas.
JATUH: Muatan 'blower' yang dibawa sebuah treler terjatuh di jalan selepas tersangkut di jejantas.

KOTA KINABALU: Sebuah kereta mengalami kerosakan akibat muatan 'blower' yang dibawa sebuah treler terjatuh selepas tersangkut di Jejantas Segama Jalan Tun Razak di sini.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 4.11 petang semalam itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris berkata, sebelum kejadian, treler berkenaan dari arah pusat membeli-belah Centre Point menuju ke Likas melalui Jalan Tun Razak.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, muatan 'blower' di atas treler yang sedang bergerak di lorong kiri tersangkut di bawah jejantas sebelum terjatuh di jalan raya.

"Kejadian ini turut menyebabkan blower yang terjatuh terkena sebuah kereta yang ketika itu sedang menurunkan penumpang di perhentian bas sebelah kiri jalan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi kemalangan selepas menerima laporan bagi mengawal keadaan lalu lintas.

Katanya, semua kenderaan yang terbabit kemalangan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. 

Menurutnya, kereta berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan tepi sebelah kanan manakala treler tidak mengalami apa-apa kerosakan selain daripada muatannya yang jatuh di atas jalan raya.
 

  • oleh
  • Advertisement