Anda di sini

Man City mengatasi Man United 2-1

Advertisement
Gundogan (tengah) meraikan gol kemenangan pada perlawanan final Piala FA Inggeris di antara Manchester City dan Manchester United di stadium Wembley, London, kelmarin. — Gambar AFP
Gundogan (tengah) meraikan gol kemenangan pada perlawanan final Piala FA Inggeris di antara Manchester City dan Manchester United di stadium Wembley, London, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Manchester City hanya kurang satu kemenangan untuk mencipta rekod memenangi tiga kejuaraan dalam satu musim selepas dua gol Ilkay Gundogan memastikan kemenangan 2-1 ke atas Manchester United dalam final Piala FA Inggeris pada Sabtu.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu melengkapkan kejuaraan berganda domestik di Wembley dan boleh menjadi pasukan kedua, selepas Man United pada 1998/1999, yang memenangi tiga kejuaraan dalam satu musim – Liga Perdana Inggeris, Piala FA Inggeris dan Liga Juara-Juara – jika mereka menewaskan Inter Milan di final untuk menjadi juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab pada 10 Jun ini.

“Kami berada dalam satu kedudukan yang mungkin tidak akan berlaku lagi,” kata Guardiola.

“Untuk memenangi Piala FA, emosinya adalah sangat istimewa dan meraikannya bersama penyokong kami adalah sesuatu yang hebat.”

Gundogan menjaringkan gol terpantas dalam sejarah final Piala FA selepas hanya 12 saat.

United berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-33 menerusi penalti Bruno Fernandes selepas bola terkena tangan Jack Grealish.

Tetapi Gundogan, yang juga kapten City dalam apa yang mungkin perlawanan terakhirnya bersama City di England dengan kontrak semasanya akan tamat akhir musim ini, menjaringkan gol kemenangan, enam minit selepas rehat.

“Semua orang tahu Piala FA adalah pertandingan domestik kelab yang terhebat di dunia, jadi untuk memenangi trofi ini sekali lagi dan melengkapkan kejuaraan berganda adalah sangat hebat untuk kami,” kata Gundogan.

“Kami mempunyai satu peluang untuk melakukan sesuatu yang istimewa dan memenangi tiga kejuaraan. Kami tidak mahu membiarkan peluang ini dipersiakan.”

Final pertama di antara dua kelab gergasi kota Manchester bermula dengan cukup hebat.

Kebanyakkan 83,000 penonton masih mengisi tempat duduk apabila Victor Lindelof cuba mengeluarkan bola dari bahaya tetapi bola sampai kepada Gundogan yang melakukan volley kencang ke pintu gol.

Gol itu kelihatan membuktikan kenapa City adalah juara Liga Perdana Inggeris ketika United kelihatan gagal menghampiri kotak penalti City.

Tetapi anak buah Erik ten Hag mendapat tuah untuk kembali bersaing apabila tandukan Aaron Wan-Bissaka ke kotak penalti terkena lengan Grealish dan pengadil perlawanan memberikan penalti selepas semakan panel video bantuan pengadil (VAR).

Fernandes tidak menghadapi masalah menewaskan penjaga gol Stefan Ortega tetapi pemain tengah United itu meraikan golnya di hadapan penyokong City, menyebabkan beberapa objek dibaling ke dalam padang, satu objek terkena Lindelof.

Selepas berusaha untuk mengimbangi permainan, United sekali lagi menerima padah selepas memulakan separuh masa kedua dengan hambar.

Gundogan sekali lagi menjaringkan gol dari satu tendangan percuma Kevin De Bruyne.

Tetapi lebih banyak persoalan tertumpu kepada sama ada penjaga gol United, David De Gea akan kekal sebagai penjaga gol nombor satu United selepas gagal menyelamat dua gol yang dianggap mudah.

“Ia gol yang sukar untuk diterima, saya boleh berkata ia gol mudah dan dapat dielak,” kata Ten Hag.

“Apabila anda menentang City dan anda tidak bolos dalam permainan terbuka, ia pujian tertinggi untuk pasukan tetapi jika anda bolos dengan gol seperti ini, ia mengecewakan.”

De Gea ada mengekalkan saingan United apabila menepis cubaan De Bruyne dan Erling Haaland sementara Gundogan dinafikan hatrik apabila satu jaringan golnya tidak dibenarkan kerana ofsaid.

United cuba bangkit pada lewat permainan tetapi cubaan Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho tersasar.

Kemenangan adalah kejuaraan ke-11 Guardiola sebagai pengurus City dan kemenangan Liga Juara-Juara di Istanbul hujung minggu ini akan meletakkan City sebaris dengan pencapaian luar biasa kelab jiran mereka itu. — AFP
 

Advertisement