Anda di sini

Lelaki maut, pacuan empat roda bertembung lori

Advertisement
 Keadaan pacuan empat roda mangsa selepas dirempuh lori.
REMUK: Keadaan pacuan empat roda mangsa selepas dirempuh lori.

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori di Kilometer 2 Jalan Lahad Datu - Tungku, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa berumur 77 tahun yang memandu pacuan empat roda meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan mendapati lori yang datang dari arah Tawau ke Felda Sahabat manakala pikap dari arah Jalan Segama menuju ke pusat bandar.

Katanya, lori dipandu lelaki berumur 28 tahun bersama seorang penumpang lelaki dipercayai memandu dalam keadaan laju dan melanggar lampu isyarat merah.

“Lori berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dipandu lelaki warga emas.

“Akibat kejadian itu, pemandu pacuan empat roda parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Rohan Shah berkata, pemandu dan penumpang lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu melanggar pacuan empat roda berkenaan.

“Semua pemandu tidak disyaki dipengaruhi dadah atau alkohol namun sampel darah diambil untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia di Kota Kinabalu.

“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohamad Rasul Ramlee di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Rohan Shah berkata, pengguna jalan raya khususnya di daerah ini diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya sedia ada dan sentiasa mengamalkan sikap sabar serta berhati-hati ketika memandu.

  • oleh
  • Advertisement