PUTATAN: Koperasi dilihat dapat memainkan peranan besar dalam membantu isi rumah terutamanya golongan B40 untuk meningkatkan kos sara hidup.
Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamaed berkata, koperasi disifatkan sebagai satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama.
Katanya, koperasi juga dapat memberi manfaat dan kesejahteraan kepada ahli dan masyarakat secara amnya.
“Kepentingan dan peranan yang dimainkan koperasi sangat penting terutama dalam peningkatan kos sara hidup mendadak masa kini.
“Selain itu, ia turut membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Bekas Tentera Angkatan Tentera Malaysia cawangan Sabah, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, kesedaran dan minat menyertai koperasi sudah menjadi satu gaya hidup yang mampu menyumbang kemakmuran sosioekonomi negara.
“Justeru, koperasi perlu ada ketelusan untuk membangunkan dan membantu ahli-ahli terutamanya dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya.
Jeffery berkata, gerakan koperasi di seluruh negara perlu merebut peluang untuk menceburi bidang perniagaan berimpak tinggi.
“Koperasi perlu mengambil pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan usahawan bahkan berupaya memainkan peranan membantu golongan B40.
“Keahlian yang ramai di seluruh negara juga seharusnya digunakan untuk menggalakkan koperasi menceburi pelbagai jenis perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan menyasarkan sebanyak RM60 bilion bagi perolehan koperasi dalam tempoh lima tahun di seluruh negara.
“Perniagaan koperasi kini bukan lagi mengusahakan tanaman kecil-kecilan, tetapi ia perlu terlibat dalam industri yang besar seperti sektor kewangan, e-perdagangan dan sebagainya.
“Koperasi dicadang supaya terlibat dalam sektor makanan, pertanian dan ternakan secara komersil kerana masih banyak lagi kawasan yang belum diteroka di negeri ini,” katanya.