Anda di sini

Kejayaan agensi penguat kuasa banteras dadah di Sarawak wajar diiktiraf 

Advertisement
Fatimah dan Dr Ahmad memotong reben untuk perasmian mesin pengimbas bagasi 'dual energy' di Miri hari ini.
Fatimah dan Dr Ahmad memotong reben untuk perasmian mesin pengimbas bagasi 'dual energy' di Miri hari ini.

MIRI: Kejayaan agensi penguatkuasaan dalam usaha membanteras pengedaran dadah dan substans di Sarawak wajar diiktiraf dan dihargai, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Beliau berharap penyediaan peralatan dan mesin taktikal yang dibekalkan kerajaan negeri kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak akan dapat meraih kejayaan rampasan dadah yang lebih tinggi dan impak yang positif. 

Beliau memberitahu, antara 2018 hingga April 2023, dadah bernilai RM74.01 juta telah dirampas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKDM di Sarawak. 

Polis turut menyita harta pengedar bernilai RM21.84 juta dan bersama JKDM menangkap seramai 3,651 pengedar dadah. 

71.7 peratus atau 37,190 dari 51,842 tangkapan adalah melibatkan kesalahan mengguna dan menagih dadah. 

"Dalam sesi DUN Mei 2023, saya telah melaporkan nisbah 1:6 pengguna dadah yang tidak mendapat rawatan dan pemulihan di Sarawak. 

Ini lebih baik daripada nisbah antarabangsa 1:7 yang dilaporkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) pada 2022," jelasnya. 

Beliau berkata demikian pada majlis simbolik penyerahan anjing pengesan dadah (APD), kenderaan APD dan mesin pengimbas bagasi 'dual-energy' kepada JKDM Sarawak petang ini di Gudang Raya Airways Miri.

Fatimah memberitahu, JKDM berkolaboratif dengan Kementerian melalui tadbir urus One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) peringkat negeri bagi memperolehi empat mesin mengimbas berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan bahan-bahan narkotik.

Selain itu, jabatan turut menerima tiga ekor APD, dua kereta APD serta membina rumah APD menggunakan geran khas Pelan Tindakan Bersepadu MIDS Sarawak yang disalurkan kerajaan negeri sebanyak RM3.012 juta.

Fatimah berkata, penyerahan adalah komitmen kerajaan negeri untuk menyekat bekalan dadah dan substans. 

Melalui OSC MIDS, Kementerian telah menyalurkan peruntukan operasi sebanyak RM7.9 juta sejak 2018 sehingga April 2023 untuk menyokong usaha-usaha rakan-rakan strategik bagi melaksanakan program dan aktiviti kawalan dan pencegahan dadah. 

Peruntukan tersebut tidak termasuk geran khas bagi memperoleh pelbagai peralatan, mesin dan instrumen taktikal bagi melaksanakan Pelan Tindakan Bersepadu MIDS Sarawak kepada Jabatan Kastam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak berjumlah RM5.38 juta. 

Terdahulu Pengarah Kastam Negeri Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, Kerajaan Sarawak adalah satu-satunya kerajaan negeri yang memberikan peruntukan tersebut.

"Ini mencerminkan betapa kerajaan negeri memandang serius isu penyeludupan dadah dan mengambil langkah proaktif dalam memeta strategi komprehensif bagi membenteras aktiviti penyeludupan dadah secara berkesan, " jelasnya. 

Beliau memberitahu, usaha murni itu bermula pada 2018 apabila isu kemasukan dadah ke Sarawak dan keluar ke Indonesia dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membenteras Dadah (MTMD).

Pada 25 Jun 2021, Fatimah telah mengadakan lawatan kerja ke Cawangan Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi melihat sendiri cara kerja melibatkan pengurusan masuk dan keluarga kargo melalui mod udara. 

Fatimah melihat sendiri pemeriksaan fizikal barang oleh pegawai kastam dilakukan secara manual dan rawak melalui kaedah penilaian risiko kerajaan cawangan tersebut kerana tidak mempunyai mesin pengimbas kargo. 

Pada 1 Julai 2021, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan geran khas berbentuk dana kewangan berjumlah RM3.012 juta kepada JKDM Sarawak bagi perolehan mesin pengimbas kargo, anjing pengesan dadah, kenderaan pengangkutan dan rumah anjing.
 

  • oleh
  • Advertisement