Anda di sini

Ibrahimovic bakal tinggalkan AC Milan selepas perlawanan terakhir musim 

Advertisement
 

MILAN: Zlatan Ibrahimovic akan meninggalkan kelab AC Milan selepas perlawanan terakhir musim menentang Verona, menurut kelab Serie A Itali itu pada Sabtu.

“Esok (Ahad) selepas perlawanan terakhir musim... AC Milan akan mengucapkan selamat jalan kepada Zlatan Ibrahimovic dalam satu majlis ringkas,” kata Milan dalam satu kenyataan.

“AC Milan mahu berterima kasih kepada Zlatan di atas tempoh luar biasa ketika bersama dengan kelab.”

Ibrahimovic adalah pemain penting dalam kebangkitan semula Milan ke kemuncak bola sepak Itali selepas dia kembali semula ke kelab sebagai ejen bebas pada lewat 2019, membantu kelab kembali menyerlah dan akhirnya memenangi kejuaraan Serie A Itali pada musim lalu.

Bagaimanapun, dia jarang diturunkan oleh jurulatih Stefano Pioli musim ini selepas sering mengalami kecederaan dan hanya kembali pada bulan Februari selepas menjalani pembedahan lutut kiri pada bulan Mei tahun lepas.

Pemain berusia 41 tahun itu hanya diturunkan dalam satu perlawanan dalam kesebelasan utama musim ini, ketika kemenangan 3-1 di Udinese pada bulan Mac, di mana dia menjadi penjaring gol paling tua dalam sejarah Serie A.

Dia kemudian mengalami kecederaan betis semasa memanas badan untuk perlawanan pada bulan April dan akan menamatkan kariernya bersama Milan di tepi padang kerana kecederaan.

Ibrahimovic juga pernah memenangi kejuaraan Serie A bersama Milan pada 2011, yang juga kejuaraan liga terakhir Milan sebelum meraih kejuaraan liga pada musim lalu. — AFP
 

Advertisement