Anda di sini

Tiga maut, tiga cedera dirempuh kereta di bawah jejambat NKVE

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera  selepas dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan ketika mereka sedang berteduh dari hujan di bawah jejambat di Kilometer (KM) 19.6 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dekat Petaling Jaya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata dalam kejadian pada jam 5.59 pagi itu, tiga penunggang motosikal berkenaan maut di lokasi kejadian manakala tiga penunggang lain mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Semua mangsa berkenaan merupakan lelaki tempatan dan berusia antara 19 hingga 37 tahun. Seorang mengalami cedera parah dan dirawat di zon merah dan dua lagi dirawat di zon kuning Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City Hatchback yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dari arah ibu kota ke Cyberjaya telah hilang kawalan dan merempuh mangsa yang sedang berteduh.

“Ujian terhadap pemandu kereta berkenaan turut mendapati beliau memandu dengan paras alkohol melebihi had yang dibenarkan,” katanya.

Katanya, pemandu kereta berkenaan kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor R. Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan. - BERNAMA
 

Advertisement