Anda di sini

Peniaga restoran rugi RM23,525 terpedaya oleh penyamar

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Akibat terpedaya dengan tempahan makanan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai penjawat awam berpangkat 'Sarjan', pemilik sebuah restoran mengalami kerugian sebanyak RM23,525.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris berkata, sebelum kejadian, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Hafis dari Kem Rejimen 507 Askar Wataniah.

Katanya, suspek membuat tempahan makanan sebanyak 150 pek untuk tiga hari dan mangsa bersetuju untuk membekalkan makanan.

Menurutnya, suspek turut menawarkan mangsa untuk menjadi orang tengah antara Kem Rejimen Askar Wataniah dengan sebuah syarikat bagi membekalkan makanan segera (RTE) bernilai RM63,000.

"Apabila pengadu bersetuju, beliau diminta membuat bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus dan dijanjikan keseluruhan barang akan dihantar ke kedai mangsa.

"Mangsa kemudiannya membuat pembayaran sebanyak RM23,525 ke tiga akaun individu yang diberikan oleh suspek.

"Suspek berjanji akan membuat bayaran keseluruhan semasa mengambil makanan serta RTE di kedai pengadu. Namun, suspek tidak mengambil makanan terbabit dan barang RTE juga tidak diterima serta suspek gagal dihubungi," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu jelasnya, mangsa terus membuat semakan dengan pihak Kem Rejimen 507 Askar Wataniah dan mendapati tiada individu bernama Sarjan Hafis serta program berkenaan juga tidak wujud.

Kalsom berkata, mangsa yang sedar sudah tertipu terus membuat laporan polis pada 30 Mei lepas untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini, pihak polis menerima sebanyak lima laporan berkenaan modus operandi dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis menasihatkan para peniaga lebih berhati-hati dan memeriksa kesahihan tempahan serta dokumen berkenaan bagi tempahan atas talian dan jangan mudah terpedaya sehingga melakukan sebarang transaksi wang," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga meminta kerjasama daripada semua pihak untuk tampil memberikan maklumat mengenai kejadian terbabit untuk membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan menangkap suspek.
 

  • oleh
  • Advertisement