Anda di sini

PBT boleh mohon peruntukan kerajaan negeri

Advertisement
 Joachim (tiga kiri) ketika melancarkan sistem pembaharuan lesen dalam talian dan program libat urus komuniti MPT.
PELANCARAN: Joachim (tiga kiri) ketika melancarkan sistem pembaharuan lesen dalam talian dan program libat urus komuniti MPT.

TAWAU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini boleh memohon peruntukan kerajaan negeri sekiranya mempunyai keperluan atau perbelanjaan untuk program baharu yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, PBT yang mahu memohon peruntukan tersebut perlu menyediakan kertas kerja program yang mahu dilaksanakan.

Katanya, walaupun tiada peruntukan khas kerajaan negeri, namun PBT masih boleh memohon sekiranya program tersebut melibatkan perbelanjaan yang besar.

“Tidak salah PBT memohon peruntukan daripada kerajaan negeri sekiranya mereka mempunyai sistem atau program baharu untuk kebaikan rakyat di kawasan mereka.

“Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah juga ada diberikan geran oleh kerajaan negeri dan pusat yang boleh digunakan oleh PBT memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri KKTP berkata demikian ketika merasmikan sistem pembaharuan lesen dalam talian dan program libat urus komuniti Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha membantu semua PBT yang mahu mencipta pembaharuan dan melaksanakan program demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“Saya nasihatkan semua PBT menyediakan kertas kerja program atau sistem yang mahu dilaksanakan supaya mudah KKTP meminta peruntukan kepada kerajaan negeri.

“Sekiranya tiada spesifik sistem atau program yang ingin dilaksanakan, agak sukar untuk kerajaan negeri menyalurkan peruntukan tersebut,” katanya.

 Joachim bergambar bersama tetamu kehormat, pegawai UPPM dan Kaunselor MPT.
KENANGAN: Joachim bergambar bersama tetamu kehormat, pegawai UPPM dan Kaunselor MPT.

Dalam pada itu, katanya, KKTP sangat berpuas hati dengan pencapaian ditunjukkan oleh MPT ketika ini yang memudahkan masyarakat untuk berurusan.

Katanya, sistem pembaharuan lesen dalam talian yang dibina oleh MPT sangat relevan dengan keadaan masa kini yang mahukan perkhidmatan lebih mudah dan cepat.

Menurutnya, sistem itu sudah pasti lebih menjimatkan masa rakyat kerana tidak perlu lagi beratur panjang atau pergi ke pejabat MPT.

“Semua perkhidmatan pembaharuan lesen perniagaan dan operasi dilakukan di hujung jari sahaja menggunakan aplikasi yang disediakan.

“Saya difahamkan lebih 5,000 pengguna yang sudah menggunakan aplikasi tersebut dan berurusan dalam talian sahaja,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir dan Presiden MPT, Joseph Pang.

  • oleh
  • Advertisement