Anda di sini

Kementerian Pertahanan sedang siapkan dasar industri pertahanan negara

Advertisement
 

JITRA: Kementerian Pertahanan sedang menyiapkan Dasar Industri Pertahanan Negara untuk dilancarkan pada tahun ini bagi mengembangkan lagi industri pertahanan negara dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata untuk itu pihak kementeriannya sedang dalam proses menyiapkan dokumen berkaitan dasar berkenaan pada masa ini.

"Kita jangka dalam tahun ini Dasar Industri Pertahanan Negara akan dilancarkan kerana kita mahu industri pertahanan dapat dikembangkan dan lebih banyak peluang pekerjaan dan kita tahu industri pertahanan dapat menghasilkan peluang pekerjaan yang baik dengan hasil pendapatan yang baik," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sesi town hall bersama mahasiswa Kedah di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) di sini hari ini sempena Program Kesedaran Mahasiswa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Kepenggunaan.

Adly berkata dasar itu nanti juga berperanan melahirkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang berkebolehan sekali gus mempunyai kepakaran mengendalikan aset pertahanan negara yang berteknologi tinggi pada masa hadapan.

"Kalau kita lihat keselamatan siber adalah aspek baharu dalam dunia pertahanan, sebab itu kita sediakan kemampuan ini dalam kalangan pelajar dan pada masa sama kita juga cuba padankan dengan keperluan di Kementerian Pertahanan. 

"Sebab itu kementerian akan memperkenalkan Dasar Industri Pertahanan Negara," katanya yang turut memaklumkan kebolehpasaran kerja graduan UPNM mempunyai ruang yang baik bukan sahaja dalam bidang pertahanan malah bidang lain. - BERNAMA
 

Advertisement