Anda di sini

Dua pasukan TABS SAFA Bandaraya layak ke final Suparimau 

Advertisement
 Pasukan TABS Safa Bandaraya B16.
LAYAK: Pasukan TABS Safa Bandaraya B16.

KOTA KINABALU: Dua pasukan Tunas Akademi Bola Sepak (TABS) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Bandaraya B12 dan B16 berjaya layak ke peringkat final Liga Suparimau di Kuala Lumpur pada 8 dan 9 Disember depan.

Kedua-dua pasukan berkenaan menjuarai kategori umur masing-masing dalam Liga Suparimau (Musim A) di Kota Kinabalu awal tahun ini.

Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya Lokman Sunggim berkata, kedua-dua pasukan itu akan terus menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi peringkat final.

Katanya, ketua jurulatih TABS Matasan Ahmad dan penolongnya Roslan Wasli dipertanggungjawabkan untuk memantau persiapan pasukan-pasukan di bawah kendalian jurulatih yang terlibat.
 

 Pasukan TABS B12 turut layak ke grand final.
BERAKSI: Pasukan TABS B12 turut layak ke grand final.

"Ketika ini TABS juga menghantar beberapa pasukan mengikut kategori umur dalam Liga Suparimau (Musim B) yang sedang berlangsung di sini setiap Sabtu dan Ahad iaitu kategori umur B12, B14 dan B16 selain B10 dan B8," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, kesemua pasukan menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak liga itu bermula minggu lepas.

"Kita berharap pasukan terbabit akan terus melakukan yang terbaik dan mencapai kejayaan," katanya.

LOKMAN SUNGGIM
LOKMAN SUNGGIM

Pihaknya juga berharap pasukan B14 akan meneruskan kecemerlangan dan berusaha untuk menjuarai kategori umur itu bagi melayakkan diri ke final di Kuala Lumpur nanti mengiringi dua pasukan, B12 dan B16.

Katanya, setelah mengharungi dua perlawanan, TABS masih mendahului pasukan lain dengan mengutip empat mata diikuti pasukan DF Sabah, Pengalat FC dan TYTC FC.

"Kita boleh melakukannya dan percaya semua pemain mampu menggalas tugas mereka di padang dengan baik selain sentiasa mempraktikkan panduan dan strategi daripada jurulatih mereka," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, TABS B17 dan B8 menjuarai kategori umur masing-masing dalam Fiesta Kaamatan Grassroot Cup anjuran Tuubagu Football Academy yang berlangsung di padang SUKMA dan padang Penampang bersempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.

Selain itu, pasukan TABS B12 juga menduduki naib juara Kejohanan Liga Bola Sepak Empat Penjuru di Sandakan, baru-baru ini.

Lokman mengucapkan tahniah kepada pasukan terbabit sambil berterima kasih atas komitmen semua pegawai, jurulatih dan ibu bapa pelatih yang memberi sokongan padu semasa kejohanan itu.

  • oleh
  • Advertisement