Anda di sini

Djokovic mara ke pusingan keempat Grand Slam Terbuka Perancis

Advertisement
 

PARIS: Novak Djokovic diberikan tentangan agak kuat sebelum meneruskan kemaraan ke pusingan keempat kejohanan Grand Slam Terbuka Perancis untuk tahun ke-14 berturut-turut pada Jumaat, selepas pemain pilihan ketiga bahagian wanita, Jessica Pegula dan pemain ranking ketujuh bahagian lelaki, Andrey Rublev tersingkir dari kejohanan.

Djokovic mencuri perhatian kerana komennya tentang Kosovo pada awal minggu tetapi kemaraannya dalam gelanggang agak tenang untuk melangkah ke minggu kedua kejohanan tanpa tewas satu set.

Jaguh dari Serbia itu bagaimanapun diberikan tentangan yang agak kuat dari pemain pilihan ke-29 dari Sepanyol, Alejandro Davidovich Fokina, yang mempunyai mata akhir pada set pertama dan juga terlepas mata set kedua sebelum menang 7-6(7/4), 7-6(7/5) dan 6-4 di Stadium Philipe Chatrier.

“Kemenangan adalah satu kemenangan, mungkin sedikit sukar – terutama sekali pada dua set pertama,” kata Djokovic. “Saya fikir saya akan tewas set kedua dan kami akan bermain lima jam hari ini tetapi saya berasa bangga dengan prestasi saya.”

Djokovic, juara dua kali kejohanan, yang sudah melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan di sini dalam 13 edisi terakhir berturut-turut, akan menentang sama ada pilihan ke-13 dari Poland, Hubert Hurkacz atau Juan Pablo Varillas dari Peru di pusingan keempat.

Pemain berusia 36 tahun itu mahu memiliki rekod bersendirian sebagai pemenang terbanyak kejohanan Grand Slam bagi bahagian lelaki di mana dia ketika ini berkongsi rekod 22 kejuaraan bersama-sama Rafael Nadal, yang tidak beraksi di sini tahun ini kerana kecederaan.

Djokovic hanya kurang satu kejuaraan Grand Slam untuk menyamai rekod Serena Williams dan dua kejuaraan di belakang Margaret Court dalam rekod keseluruhan lelaki dan wanita untuk kejohanan Grand Slam.

Djokovic sudah menang tiga dari empat perlawanan menentang Davidovich Fokina.

Pemain nombor satu dunia ketika ini, Carlos Alcaraz, dianggap pilihan juara dan dijangka bertemu Djokovic di separuh akhir, juga meneruskan kemaraan dengan kemenangan mudah 6-1, 6-4 dan 6-2 ke atas Denis Shapovalov dari Kanada.

Pemain dari Itali, Lorenzo Sonego, bangkit dari ketinggalan dua set sebelum menewaskan Rublev untuk melangkah ke pusingan keempat buat kali kedua di sini.

Pemain ranking ke-48 dunia itu menang 5-7, 0-6, 6-3, 7-6 (7/5) dan 6-3 dalam masa tiga jam dan 42 minit.

Dengan kemenangan itu, Sonego akan bertemu dengan pilihan ke-11 dari Rusia, Karen Khachanovic dengan satu kemungkinan pertemuan suku akhir menentang Djokovic.

Khachanov, pemain pilihan ke-11 kejohanan, menamatkan cabaran pemain Australia, Thanasi Kokkinakis dengan kemenangan 6-4, 6-1, 3-6 dan 7-6 (7/5).

Dalam bahagian wanita, harapan Pegula, pemain dari Amerika Syarikat (AS) untuk melangkah lebih jauh pada kejohanan ini berkecai apabila tewas kepada Elise Mertens, pemain pilihan ke-28 kejohanan 6-1 dan 6-3.

Pegula, pemain ranking ketiga dunia, yang hanya memenangi dua kejuaraan Jelajah WTA setakat ini, belum pernah sampai ke peringkat suku akhir dalam mana-mana kejohanan Grand Slam.

Dengan kemenangan itu, Mertens,  yang pernah melangkah ke peringkat separuh akhir di Terbuka Australia, akan bertemu dengan naib juara 2021, Anastasia Pavlyuchenkova.

Dalam perkembangan lain, Aryna Sabalenka enggan menghadiri sidang media wajib selepas perlawanan setelah menewaskan Kamilla Rakhimova untuk melangkah ke pusingan keempat kejohanan buat kali pertama. — AFP
 

Advertisement