Anda di sini

Bradley berharap musim keempatnya bersaing dalam GR Vios Challenge memberansangkan

Advertisement
 

KUCHING: Bradley Benedict Anthony berharap musim keempatnya bersaing dalam GR Vios Challenge memberansangkan, terutama setelah dia terlepas gelaran keseluruhan Sporting Class selama tiga tahun berturut-turut.

Pelumba berusia 21 tahun itu, yang kini berada di tempat kedua dalam kedudukan mata keseluruhan selepas dua perlumbaan pada Musim 6, begitu hampir untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada Musim 3, 4 dan 5. 

Bagaimanapun berikutan keadaan tidak mengizinkan, Bradley terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua dan ketiga secara keseluruhan sebanyak dua kali. 

Pada sesi kelayakan Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini, pemuda yang memandu untuk Crestmax Motorsport itu mencatatkan rekod keenam terpantas.

Bradley berjuang untuk kedudukan tiga teratas dalam Perlumbaan 1 pada hari Sabtu (3 Jun) sebelum menduduki tempat keempat.

“Saya berharap dapat meningkatkan masa pusingan saya dan seterusnya naik ke podium.

“Namun berikutan sebab-sebab tidak dapat dikenal pasti, saya masih tidak dapat mencatat masa yang cukup pantas semasa latihan dan kelayakan sungguhpun telah mencuba sedaya upaya,” kata Bradley.

Bermula daripada karting, GR Vios Challenge merupakan pengenalan Bradley ke dalam perlumbaan kereta saloon dan pengalaman itu memainkan peranan penting dalam membentuk kerjaya perlumbaannya.

Kini Bradley turut bertanding dalam siri perlumbaan kebangsaan dan perlumbaan tahunan Sepang 1000KM Endurance.

“GR Vios Challenge membantu mempertajam kemahiran perlumbaan pemandu kerana tiada kelebihan dari segi mempunyai prestasi yang lebih tinggi berbanding pesaing lain. Semuanya bergantung pada pemanduan anda.

“Ini secara tidak langsung menggalakkan pembelajaran lebih pantas terutama untuk pemandu baharu,” kata Bradley yang kini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam International Business.

Saksikan semua aksi dan persembahan pentas oleh selebriti tempatan yang disiarkan secara langsung di laman web UMW Toyota Motor (Malaysia) Sdn Bhd di www.toyota.com.my dan di laman Facebook Toyota Malaysia dan Toyota Gazoo Racing Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.toyota.com.my.
 

Advertisement