Anda di sini

Bot nelayan langgar syarat ditahan Maritim Malaysia 

Advertisement
 Bot nelayan tempatan yang ditahan Maritim Malaysia kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.
DITAHAN: Bot nelayan tempatan yang ditahan Maritim Malaysia kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

LABUAN: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan selepas didapati menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

Pengarah Zon Maritim Labuan Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, tindakan terbabit melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985.

Katanya, bot berkenaan ditahan di kedudukan 14.5 batu nautika barat laut Pulau Tanjung Nosong di sini kira-kira jam 9.40 pagi hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan rutin terhadap bot terbabit dijalankan kapal Maritim Malaysia dalam rondaan Op Sejahtera, Op Khas Kuda Laut dan Op Khas Naga Timur.

"Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot berkenaan melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 dengan menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati beberapa peralatan yang digunakan untuk menangkap ikan seperti 'Spear Gun' buatan sendiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, turut ditahan enam kru bot nelayan termasuk lima warga tempatan dan seorang warganegara Filipina yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 47 tahun.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

Katanya, bot, kru dan peralatan menangkap ikan ditahan sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan selanjutnya.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang aktiviti atau salah laku jenayah di laut. 

"Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-453777 atau Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement