Anda di sini

744 laporan kes tipu dalam talian libat Facebook

Advertisement
 

KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 744 laporan mengenai kes penipuan dalam talian melibatkan laman Facebook dari Januari hingga 25 Mei lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata ia diikuti dengan Telegram sebanyak 17 kes, Whatsapp (16), Instagram (tujuh) dan e-mel (satu).

Beliau berkata angka itu jelas menunjukkan kepentingan kerjasama antara kerajaan bersama penyedia platform media sosial supaya kes jenayah seumpama itu dapat diambil tindakan segera.

"Kementerian faham bahawa penyedia platform ada garis panduan komunitinya, itu perkara biasa. Sebagaimana perjumpaan yang dibuat bersama TikTok, Facebook dan Google, ia (adalah) untuk memastikan aktiviti yang melanggar undang-undang boleh diambil tindakan secepat mungkin.

"Begitu juga jika ada ucapan bersifat perkauman dan sebagainya, kami boleh hantar senarai (laporan) kepada penyedia platform, tetapi penyedia platform masih mengguna pakai atau rujuk garis paduan mereka untuk buat keputusan sama ada kandungan itu akan dipadam atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menonton filem Polis Evo 3 bersama komuniti polis Kulai di sini hari ini. 

Mengenai tindakan Telegram mengabaikan jemputan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk berbincang dan mencari penyelesaian berhubung beberapa aduan, Teo berkata perjumpaan itu bertujuan mewujudkan kerjasama dalam mengekang aktiviti jenayah dan bukan bersifat politik atau menganggu kebebasan bersuara.

"Kalau mereka (Telegram) cakap bahawa perjumpaan pun tidak boleh kerana ia adalah campur tangan politik, saya mahu bertanya soalan ini, adakah anda fikir di Malaysia kita tidak mempunyai kebebasan bersuara? 

 "Adakah perjumpaan dengan kami, bermakna mereka (penyedia platfrom) jadi ‘slave’ kepada kerajaan, tidak kerana mereka ada garis panduan komuniti, tetapi untuk aktiviti yang memang menyalahi undang-undang seperti ‘online scam’, tindakan perlu diambil dan perlukan kerjasama semua pihak," katanya.

Sementara itu, berhubung Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta KKD melalui MCMC memantau hantaran berkisar naratif kaum dan agama yang dimainkan pemimpin politik di laman sosial untuk diambil tindakan, Teo mengingatkan semua pihak khususnya ahli politik agar tidak berbuat demikian kerana tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya orang ramai dan ahli politik juga dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian, perkauman dan agama terutama ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

"Semua pihak terutama ahli politik perlu faham, ketika PRN memang ada persaingan, tetapi jangan disebabkan ada agenda dan mahu kemenangan, kita mengeluarkan kenyataan yang boleh beri kesan negatif kepada masyarakat," kata Ahli Parlimen Kulai itu. - BERNAMA
 

Advertisement