Anda di sini

SAFA lahirkan 72 jurulatih lesen D, 390 jurulatih akar umbi

Advertisement
OMAR MAYA
OMAR MAYA


KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengesahkan telah berjaya menghasilkan seramai 72 jurulatih lesen D dan 390 jurulatih akar umbi (grassroot) di Sabah dalam tempoh dua tahun lepas melalui kursus yang diadakan di beberapa daerah di negeri ini.


Selain itu, Sabah juga memperoleh seorang jurulatih bimbingan lesen D dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  iaitu Omar Maya Amat dan empat jurulatih bimbingan akar umbi juga lantikan FAM terdiri daripada Omar Maya Amat, Andrew Weddy Majanggim, Hilary John Baptist dan Petronella Downy.


Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat (gambar) berkata, semua kursus kejurulatihan tersebut merupakan anjuran SAFA dengan kerjasama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).


Katanya, jumlah jurulatih lesen D dan jurulatih akar umbi yang dapat dihasilkan dalam tempoh itu penting bagi menjayakan program pembangunan bola sepak di negeri ini.


"Kita juga berjaya melahirkan 15 jurulatih penjaga di samping mengadakan kursus 'refresher' untuk 18 jurulatih penjaga dalam masa dua tahun itu," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.


Pada masa sama, menurut Omar, seramai 64 jurulatih futsal termasuk 44 peringkat tahap satu dan 20 jurulatih tahap dua turut berjaya dilahirkan.


Beliau menambah, SAFA memberi penekanan terhadap usaha untuk melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah bagi memastikan program pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.


"Sebenarnya SAFA juga merancang untuk menganjurkan kursus kejurulatihan yang berkelas tinggi seperti lesen B namun kita perlu memberi keutamaan lesen D dan akar umbi di peringkat awal ini," ujarnya.


Mengenai pembangunan pertandingan, Omar menjelaskan sepanjang tempoh dua tahun lepas, SAFA juga telah berjaya menganjurkan kejohanan bola sepak bawah umur 18 tahun Piala BMR, kejohanan Piala Ketua Menteri, liga bola sepak wanita nasional peringkat Sabah dan Piala SAMORA B11 dan B12.


Katanya, program dan aktiviti SAFA akan dijalankan secara berterusan sejajar dengan usaha untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini.


"Ketika ini, SAFA tidak mengendalikan pasukan tetapi fokus kita adalah untuk menjayakan program pembangunan supaya sukan bola sepak akan terus berkembang dan berkualiti," tegas Omar.

  • oleh
  • Advertisement