Anda di sini

Permintaan lemah dorong pasaran getah diniaga rendah minggu depan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan berikutan permintaan yang hambar untuk komoditi berkenaan selain harga diunjur tidak berubah.

Bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low mengunjurkan satu lagi minggu yang mendatar dengan aktiviti biasa penambahan harian stok sahaja.

“Penambahan stok biasa memang ada tetapi minat untuk mendapatkan lebih banyak pembelian stok getah buat masa ini agak hambar.

“Kita berharap dengan arus kemasukan pelancong dan aktiviti promosi perdagangan lain di seluruh dunia, permintaan getah dan harga yang lebih baik boleh dijangkakan dalam beberapa bulan akan datang.

"Buat masa ini, hanya ada aktiviti pengisian atau penambahan biasa sahaja," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang peniaga lain berkata harga akan terus menjejaki prestasi pasaran hadapan getah serantau, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS dan penanda aras harga minyak mentah di tengah-tengah kemajuan dalam rundingan hutang AS selain mengharapkan agar Rizab Persekutuan AS  menghentikan kenaikan kadar faedah pada mesyuarat bulan Jun ini.

“Pasaran akan terus menumpukan perhatian kepada rundingan hutang AS, hasil mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) mengenai pengurangan bekalan, laporan pengangguran AS untuk Mei berserta keadaan cuaca di Thailand untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai hala tuju pasaran getah,” katanya.

Pada asas mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun satu sen kepada 601.5 sen daripada 602.5 sen sekilogram (kg) yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Lateks pukal naik 3.5 sen kepada 495 sen sekg daripada 491.5 sen sekg seminggu sebelumnya.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 ialah 602.5 sen sekg manakala lateks pukal pada 494.5 sen sekg. - BERNAMA
 

Advertisement