Anda di sini

Pengerusi JPKK Moyog diminta fokus beri perkhidmatan

Advertisement
 Ewon (tiga kiri) ketika hafir menyampaikan watikah tersebut.
HADIR: Ewon (tiga kiri) ketika hafir menyampaikan watikah tersebut.

PENAMPANG: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan Moyog diingatkan supaya bertanggungjawab dan fokus memberi perkhidmatan di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, Pengerusi JPKK yang baharu dilantik perlu memastikan pembangunan di kawasan mereka dapat dijaga.

Katanya, perkara itu sangat penting bagi memastikan keperluan pembangunan di setiap kampung dapat diberi perhatian sewajarnya.

“Sebelum ini terutamanya semasa pilihan raya, ada diantara kita yang berbeza pandangan, namun ia sudah berlalu dan kini tumpuan adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Sekarang bukan masanya untuk kita mempertikaikan pelantikan pengerusi JPKK, tetapi lebih penting berusaha membawa banyak pembangunan di sini,”katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK Moyog, di sini hari ini.

Menurutnya, semua Pengerusi JPKK diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik selepas merima jawatan tersebut.

Ewon berkata, pelantikan JPKK adalah berdasarkan cadangan setiap parti yang menyokong kerajaan negeri ketika ini.

“Justeru, saya berharap setiap JPKK dapat memberi kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan bagi memudahkan pelaksanaan program-program kerajaan khususnya di kawasan kampung.

“Kita harus menjadi satu pasukan yang kukuh dan bersatu padu agar dapat mengurus pembangunan di Penampang dengan baik,”katanya.

Mengenai Pelan Pembangunan Penampang yang sedang dilaksanakan oleh Institut Pembangunan Sabah (IDS), Ewon berkata, setiap JPKK perlu memberikan input mengenai keperluan pembangunan di kampung mereka.

“Pelan pembangunan yang lebih tersusun dan menyeluruh akan memudahkan kita mencari peruntukan bagi setiap isu yang dikemukakan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, selain memberi fokus kepada perkhidmatan dan pembangunan, pengerusi JPKK juga berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan bagi memastikan keselamatan kampung sentiasa terjamin.

“Sekiranya ada pendatang tanpa izin (PTI) yang menimbulkan risiko keselamatan di kampung, pengerusi JPKK harus bertindak pantas melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 61 pengerusi JPKK kawasan Moyog.

Turut hadir Pegawai Daerah Penampang Francis Chong dan Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Hj Ibrahim.

  • oleh
  • Advertisement