Anda di sini

Pelajar maut dalam kemalangan babitkan dua motosikal

Advertisement
 

SEREMBAN: Seorang pelajar maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah motosikal lain di KM7, Jalan Bahau-Batu Kikir, Jempol dekat sini, pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata dalam kejadian kira-kira 7.40 pagi itu, pembonceng Muhammad Rizal Hakimi Yusrizalhanasri, 17, beralamat di Kampung Jambu Lapan, Bahau maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika rakan mangsa yang menunggang motosikal melanggar bahagian belakang sebuah motosikal lain jenis Honda EX5 yang ditunggang lelaki berusia 44 tahun.

Hoo berkata lelaki itu dalam perjalanan dari rumahnya di Serting Ilir menuju ke kedai.

“Akibat kemalangan, motosikal dinaiki pelajar itu kemudian merempuh penghadang jalan di bahu kiri jalan raya sehingga menyebabkan Muhammad Rizal Hakimi tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala rakannya patah kaki kanan serta luka di muka.

“Penunggang Honda EX5 itu pula mengalami patah kaki kiri. Difahamkan kedua-dua pelajar berkenaan sedang dalam perjalanan ke program Skuad Anti Dadah di Telok Kemang, Port Dickson,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoo berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - BERNAMA
 

Advertisement