Anda di sini

Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu bersama-sama selesaikan masalah air

Advertisement
 Ewon (tengah) menyaksikan penyerahan bantuan kepada salah seorang penduduk.
SAKSIKAN: Ewon (tengah) menyaksikan penyerahan bantuan kepada salah seorang penduduk.

KOTA BELUD: Kerajaan negeri perlu proaktif untuk bersama-sama dengan kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sekiranya masalah bekalan air di negeri ini tidak diselesaikan, ia dikhuatiri menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kedatangan pelabur.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Putrajaya, baru-baru ini bagi mencari penyelesaian masalah bekalan air di negeri ini, menunjukkan komitmen kerajaan perpaduan untuk mencari jalan penyelesaian tuntas berkenaan masalah keperluan asas yang membelenggu rakyat Sabah selama ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau kepada rakyat Malaysia khususnya di dua negeri iaitu Sabah dan Kelantan yang berhadapan masalah air.

“Pengumuman mengenai peruntukan tambahan untuk tujuan itu menunjukkan komitmen besar kerajaan perpaduan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi rakyat negara ini.

“Saya berharap kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk menaik taraf kemudahan, mengenal pasti sumber air baharu, membaiki paip lama dan mengenal pasti kebocoran seterusnya menutup kebocoran itu supaya dapat memberikan perkhimatan lebih baik kepada rakyat Sabah.

“Saya percaya di peringkat kerajaan Persektuuan kita sudah menyampaikan apa yang perlu diberikan dan rakyat mengharapkan kerajan negeri juga turut proaktif untuk meningkatkan kapasiti bagi menyelesaikan masalah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Yayasan Petronas sempena Pesta Kamatan 2023, di sini, semalam.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang berkata, wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah iaitu Ahli Parlimen dan ADUN  sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan pelbagai perkara agenda pembangunan di Sabah.

“Kami telah membangkitkan keperluan peruntukan tambahan yang besar untuk menyelesaikan masalah air, elektrik, jaringan jalan raya dan telekomunikasi serta pembangunan keusahawanan di Sabah.

“Hasil pertemuan itu, Perdana Menteri positif dan bersetuju dengan cadangan kami dan seperti yang dinyatakan, peruntukan tambahan untuk membantu menyelesaikan masalah air di Sabah,” katanya.

Mengenai masalah bekalan air di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian Ewon berkata, masih ada lebih 30 kampung yang bergantung kepada bekalan air graviti. 

“Sebagai ADUN di sini, saya menggunakan peruntukan ADUN untuk membantu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah. Tetapi untuk jangka masa yang panjang, bekalan air graviti ini tidak akan berkekalan untuk memberi bekalan yang konsisten kepada mereka.

“Sehubungan itu perlu ada loji baharu dibangunkan di kawasan ini, selain pemeriksaan berkala bagi mengenal pasti paip yang bocor dan mengalami kerosakan,” katanya.

Bagi kawasan Parlimen Penampang, Ewon berkata, kawasan itu juga memerlukan bekalan air bersih yang konsisten ekoran pembangunan pesat ekonomi termasuk industri, pusat komersial, perumahan dan pendidikan di Penampang.

  • oleh
  • Advertisement